Assalamualaikum,
Kepada,
YAB Datuk Seri Najib Tun Razak
Presiden Parti Kebangsaan Melayu Bersatu
PEKEMBAR (UMNO)
- Kami dengan segala rasa hormat, ingin menegur Datuk Seri sebagai pemimpin tertinggi PEKEMBAR, dalam beberapa perkara yang kami berpendapat, bahawa perbuatan itu tidak sesuai untuk dilakukan oleh para pemimpin Islam, di bumi Malaysia ini.
- Ianya khusus kepada dua perkara iaitu mengenai gambar Datuk Seri sedang menyalakan api dalam satu upacara keagamaan penganut agama hindu di Batu Caves, dan juga mengenai patung replika gergasi menyerupai Datuk Seri yang kini heboh tersiar di internet, sama seperti mana replika Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dahulunya telah dikritik keras oleh beberapa ahli-ahli agama.
- Pertamanya, kami ingin menegur perbuatan Datuk Seri ketika bersama penganut agama Hindu di Batu Cave baru-baru ini. Perbuatan menyalakan lilin adalah ibadah di dalam agama Hindu maka kami yakin, kita sebagai umat Islam sudah maklum bahawa Islam tidak membenarkan kita berbuat demikian.
- Sekiranya Datuk Seri melakukan perkara itu semata-mata untuk mengambil hati masyarakat bukan Islam dalam hal yang bersangkut paut dengan ehwal politik pula, maka kami berpendapat bahawa sudah sampai masanya, mulai hari ini, penganut agama Hindu, Buddha, Kristian dan lain-lain agama di negara ini perlu diberitahu, bahawa di dalam Islam, akidah itu adalah perkara terpenting yang menjadi pokok dalam menentukan keIslaman seseorang itu.
- Kami yakin, sekiranya kita berterus terang dan memberitahu, bahawa Islam melarang penganutnya mengikut atau menyertai, atau berbuat yang serupa perbuatannya dalam upacara keagamaan yang lain dengan cara yang berhemah dan bijaksana, maka mereka akan menerimanya dengan hati yang terbuka.
- Justeru itu, sekiranya mereka mengadakan sebarang upacara agama dan meminta kita hadir, maka mereka akan faham, bahawa mereka tidak boleh menjemput kita untuk berbuat perkara atau perbuatan yang sama dilakukan oleh mereka ketika beribadah, kerana perkara itu merupakan larangan paling utama di dalam Islam.
- Ini memandangkan, pemberitahuan serta hukum-hukum di dalam Islam, yang melibatkan hubungan sesama manusia dan akidah, tidak diketahui oleh mereka yang bukan Islam. Kejahilan itulah yang menyebabkan ada sesetengah pihak yang cuba mengeluarkan pendapat yang akhirnya menimbulkan fitnah terhadap Islam dan juga umatnya.
- Maka dengan itu, kami berpendapat, adalah menjadi kewajipan kita, terutama para pemimpin dan ulama, mulai dari saat ini, memberitahu kepada yang bukan Islam melalui apa jua cara sekalipun, bahawa selain daripada larangan arak, judi dan zina, ada satu lagi perkara pokok yang terpenting sekali di dalam Islam, iaitu akidah.
- Di mana kita hanya menyembah atau beribadah kepada Tuhan Yang Satu dengan cara yang telah ditetapkan-Nya. Maka dengan itu umat Islam dilarang mengikut perbuatan penganut agama lain di dalam upacara keagamaanya kerana ia melibatkan upacara ibadah agama yang lain yang tidak disembahkan kepada Allah, sebaliknya kepada tuhan mengikut kepercayaan agama masing-masing.
- Biarpun begitu, ini bukan bermakna, kita tidak menghormati perayaan atau adat istiadat keagamaan mereka yang bukan Islam. Sepanjang PEKEMBAR memerintah bersama rakan-rakan lain di dalam BN, kita tidak pernah menyekat sebarang upacara keagamaan penganut agama lain. Setiap tahun, kita akan berkongsi di bumi yang sama, dengan masyarakat dan penganut agama lain dalam istiadat upacara keagamaan mereka.
- Kami juga berpendapat, adalah amat perlu untuk memberitahu kepada masyarakat bukan Islam, bahawa ajaran Islam dengan tegas tidak membenarkan penganutnya mencerca atau menghina kepercayaan penganut agama lain. Malah Islam tidak memaksa penganut agama lain untuk memeluk Islam. Islam hanya memerintahkan, agar penganutnya memberitahu atau menyebarkan kepada manusia di sekelilingnya, apa itu Islam dan apa hukum hakam serta pantang larangnya.
- Kami yakin, dengan slogan 1 Malaysia, masyarakat bukan Islam akan memahami dan menghormati akidah dan larangan yang perlu kita patuhi sebagai umat Islam, biar diperingkat mana kita sekalipun berada.
- Sebagai contoh, dari segi pemakanan. Penganut agama telah tahu dan faham, bahawa orang Melayu@Islam, tidak memakan daging khinzir. Maka, mereka sehingga hari ini menghormati dan tahu tentang perkara itu. Begitu juga dengan umat Islam yang tahu dan faham, bahawa penganut agama hindu tidak boleh memakan daging lembu kerana larangan agama mereka, maka kita menghormati dan faham tentangnya.
- Sekiranya kita memberikan kefahaman tentang akidah Islam kepada masyarakat bukan Islam, maka perkara ini tidak akan menyebabkan kita berada di dalam keadaan yang serba salah untuk memenuhi permintaan mereka untuk melakukan sesuatu perkara yang menjadi perbuatan di dalam ibadah mereka, apabila kita menghadiri upacara keagamaan penganut agama yang lain di negara ini. Malah lebih penting lagi, ia dapat mengelakkan fitnah besar yang boleh dimanipulasi oleh pihak tertentu.
- Selain daripada itu, kami di sini juga ingin meminta penjelasan Datuk Seri mengenai patung replika menyerupai Datuk Seri di Batu Cave, apakah ianya dibina atas restu Datuk Seri, ataupun ianya dibina tanpa pengetahuan Datuk Seri?
- Dalam hal ini, sekiranya replika itu dibina atas restu Datuk Seri, maka kami sebagai ahli PEKEMBAR dan sebagai saudara seagama, ingin menegur Datuk Seri, bahawa ianya adalah salah dan bertentangan dengan akidah Islam. Secara umumnya sebagai umat Islam, telah kita ketahui bahawa mendirikan replika seperti itu yang menyerupai berhala amat bertentangan dengan akidah Islam.
- Bukankah satu ketika dulu, ketika Replika Datuk Seri Anwar dibina di Batu Caves, ramai cendekiawan Islam yang menegur. Malangnya, pada hari ini, perkara yang sama telah berlaku, dan sekiranya ia dibina atas izin Datuk Seri, maka kami memohon Datuk Seri agar mengambil iktibar dari perkara yang sama yang telah diberitahu oleh ahli-ahli agama ketika memberi komen tentang replika Datuk Seri Anwar Ibrahim satu ketika dulu.
- Namun, sekiranya replika itu dibuat tanpa pengetahuan Datuk Seri, maka kami memohon agar Datuk Seri memberikan penjelasan mengenai perkara tersebut agar segala kata-kata dan provokasi yang timbul kebelakangan ini yang dimanupulasi dan diputarbelitkan oleh pihak tertentu akibat gambar replika tersebut yang kini bertebaran di dalam internet, dapat diredakan.
- Ini termasuklah kata-kata seorang lelaki yang bernama Mohan Perumal yang mengeluarkan kenyataan di dalam FaceBooknya yang berbunyi : " Berani tak orang UMNO cakap pasal akidah Islam sekarang..? Bila gambar DS Anwar di Dun Batu Caves salah Akidah Islam; gambar DS Najib di pintu masuk Batu Caves tak salah Akidah Islam? Betulkah Islam ada Akidah atau hanya undi yang menjadi akidah? oiiii mana wira-wira akidah lslam umno?"
- Selain itu, kami juga meminta, agar sambutan hari Pahlawan yang diupacarakan dengan meletakkan kalungan bunga di Tugu Negara pada setiap tahun, diubah cara yang lebih tepat dengan yang dianjurkan Islam.
- Kami meyakini, dengan keperibadian Datuk Seri sebagai seorang pemimpin yang bermula dari bawah, Datuk Seri akan sentiasa memahami isi hati akar umbi dan terbuka dalam menerima teguran biarpun ia datang di peringkat akar umbi untuk kebaikan kita bersama.
- Maafkan kami sekiranya ada kata-kata dalam nukilan kami yang menyinggung perasaan Datuk Seri. Harapan kami agar Datuk Seri mencontohi tauladan kepimpinan yang telah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah saw dan para sahabat yang empat, dalam mengembalikan semula kegemilangan Islam, meninggikan semula martabat Melayu di mata dunia, dan menjadikan masyarakat Malaysia hidup dalam satu matlamat, satu arah dan satu wawasan.
Yang Benar,
Pergerakan Pemuda PEKEMBAR Taman Ehsan
1 comments:
Good one!
Post a Comment