Isu kerajaan perpaduan bergema lagi. UMNO sekali lagi mengulangi kesediaannya untuk ke meja perbincangan dengan PAS, untuk bermuzakarah tentang betapa pentingnya wujud satu kesatuan matlamat di antara UMNO dan PAS, demi untuk manfaat Islam dan penganutnya, khususnya bangsa Melayu di bumi Malaysia ini.
Malah, menurut akhbar Utusan Malaysia, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato Nik Aziz Nik Mat juga secara dasarnya bersetuju bahawa sememangnya UMNO dan PAS perlu bersatu.
Apa yang lebih menarik, apabila beberapa orang-orang alim telah mula turut serta dalam usaha ini. Usaha untuk menyatukan dua parti politik umat Islam yang terbesar di negara ini yang mendapat perhatian serta keterlibatan orang-orang alim secara langsung dan serius, merupakan satu perkembangan yang amat positif hari ini.
Dalam hal ini kami berpendapat bahawa perpaduan ummah pada hari ini merupakan salah satu perintah Allah yang paling penting untuk dilaksanakan, berdasarkan situasi keadaan umat Islam yang berpecah belah, khususnya di negara ini.
Biarpun di antara kedua-dua parti ini mempunyai kenangan pahit secara peribadi sebelum ini, namun perkara ini tidak boleh menjadi penghalang dalam usaha perpaduan ini.
Mengapakah perbezaan ideologi politik, pentadbiran dan perlaksanaan bagi mengurus tadbir negara boleh membuatkan ada sebahagian umat Melayu bermusuh dengan yang lainnya. Sehinggakan kita hari ini mencaci maki dan menghamun sesama sendiri.
Hari ini, masing-masing memberitahu rakyat bahawa merekalah pembela Islam dan bangsa Melayu, namun apakah kita mahu membela Islam dengan cara berpecah belah, taksub, asobiyah, memaki hamun sesama sendiri, khianat, dengki, takbur, riak, sombong dan sikap-sikap yang seangkatan dengannya?
Apakah pendekatan seperti yang disebut di atas itu adalah perintah Tuhan atau pun sunnah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw dalam usaha memertabatkan Islam? Bolehkah kita memperjuangkan Islam dengan akhlak yang buruk dan memaki hamun sesama sendiri?
Selain itu, apakah sikap bermusuhan, dengki mendengki, khianat mengkhianati, taksub dan asobiyah yang ditonjolkan dalam budaya berparti dan berpolitik di kalangan masyarakat Melayu hari ini adalah sesuatu yang baik untuk diwariskan kepada generasi pelapis umat Islam di negara ini?
Kita perlu sedar, bahawa Allah swt telah menyatukan umat Melayu dengan dua faktor yang paling kuat iaitu bangsa dan agama. Namun mengapakah hari ini kita masih lagi berpecah belah?
Bagi menjadikan usaha perpaduan ini menjadi kenyataan, maka wajib bagi setiap ahli terutamanya pemimpin bagi kedua-dua parti itu membuangkan rasa syak wasangka, khianat, dengki, ujub, riak dan mula bersikap tulus, ikhlas dan bersatu dengan niat hanya kerana Allah semata-mata.
Sekiranya masih wujud perasaan syak wasangka dan seangkatan dengannya dalam diri ahli mahupun pemimpin di dalam kedua-dua parti ini, maka usaha perpaduan ini akan gagal.
Apakah umat Islam di negara ini, ahli-ahli parti politik serta pemimpin terlupa pesanan Rasulullah saw yang dikitabkan di dalam Sahih Muslim yang bermaksud :
Hadis Anas bin Malik r.a:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu saling benci-membenci, dengki-mendengki dan sindir-menyindir. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Haram seseorang muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga hari lamanya
Malah, lebih penting lagi, perintah perpaduan itu merupakan salah satu perintah utama yang difirmankan Allah melalui Al Quran. Jika berdasarkan situasi di negara ini, maka tidak syak lagi, bahawa perintah untuk bersatu padu menjadi satu perintah yang perlu diutamakan dan sama pentingnya dengan perintah solat, haji, puasa dan lain-lain.
Sekiranya perkara ini menjadi satu kenyataan, maka keterbukaan serta keimanan umat Islam di negara ini dalam usaha bersatu padu memelihara Islam mudah-mudahan akan menjadi contoh bagi seluruh negara Islam di dunia ini.
Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud :
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya.
Di samping itu, umat Islam khususnya bangsa Melayu, perlu sedar bahawa mungkin ada tangan-tangan ghaib yang tidak mahu melihat wujudnya perpaduan di antara umat Islam di negara ini.
Dajal-Dajal kecil ini mungkin wujud di mana-mana sahaja, baik sebagai rakyat, ahli parti politik, termasuklah di kalangan pemimpin-pemimpin politik di dalam negara ini, baik di dalam UMNO, PAS, Keadilan DAP dan lain-lain.
Mereka inilah golongan munafik yang tidak mahu melihat perpaduan di kalangan umat Islam, khususnya bangsa Melayu lantaran mempunyai kepentingan agenda peribadi masing-masing.
Dalam hal ini, Allah swt telah mengingatkan hamba-hamba-Nya umat Islam melalui Firman-Nya dalam surah An Nisa ayat 88 yang bermaksud :
Maka apakah yang menyebabkan kamu (berpecah) menjadi dua golongan terhadap kaum munafik itu, padahal Allah telah menjerumuskan mereka (ke dalam kekufuran) disebabkan apa yang telah mereka usahakan? Adakah kamu pula hendak memberi petunjuk kepada orang-orang yang telah disesatkan oleh Allah? Padahal sesiapa yang telah disesatkan oleh Allah, maka engkau tidak sekali-kali akan mendapat jalan untuk menyelamatkannya.
Dan jelas, mereka yang termasuk di dalam golongan munafik itu ialah mereka yang mempunyai penyakit spiritual iaitu hasad dengki dengan perkara kebaikan seperti mana yang dijelaskan Allah swt dalam surah Al Baqarah ayat 10 yang bermaksud :
Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).
Dan golongan munafik ini pula, berselindung di sebalik kelakuan yang baik dan sikap yang lunak, bagi menyembunyikan kemunafikan mereka serta perasaan hasad dengki mereka itu seperti yang dijelaskan Allah swt dalam surah Al Baqarah ayat 11 yang bermaksud :
Dan apabila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan.
Maka dalam hal ini, peranan para alim amat diperlukan untuk menjayakan usaha perpaduan ini. Orang alim perlu menjadi orang tengah di dalam usaha untuk menyatu padukan dua parti politik terbesar umat Islam di negara ini. Ini sesuai dengan perintah Allah swt dalam surah Al Hujaraat ayat 10 yang bermaksud :
Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
Kepada para ustaz, ulama dan pemimpin yang terlibat dalam politik, sekiranya ada di antara mereka yang bersikap auch tidak acuh, atau tidak suka kepada usaha untuk menyatupakan dua parti terbesar ini dengan bersungguh-sungguh lantaran sentimen peribadi atau kenangan lalu, maka Allah swt dalam Firman-nya melontarkan satu persoalan kepada golongan ini yang bermaksud :
Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?
Jadi jelas di dalam isu perpaduan ini, tidak ada alasan dari kedua-dua belah pihak untuk mengatakan tidak pada usaha ini. Bersatu merupakan satu perintah Allah dan Rasul, maka sekiranya usaha ini ditolak oleh salah satu pihak, maka secara jelas golongan ini telah ingkar dan melanggar perintah Allah.
Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan sekiranya wujud golongan yang menentang perpaduan dua parti terbesar umat Islam yang cuba diusahakan hari ini, tidak syak lagi inilah golongan dajal dan munafik yang wujud berkeliaran di kalangan umat Islam untuk menyebar fitnah melaga-lagakan umat Islam di negara ini sesama sendiri.
Ini adalah kali kedua usaha menyatupadukan dua parti dalam satu matlamat. Sebelum ini gagal, diharap usaha kali kedua ini berjaya.
Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka
Bersatulah demi kemuliaan Islam, kesejahteraan bangsa dan keamanan negara.
Pemuda UMNO Taman Ehsan
0 comments:
Post a Comment