Aug 19, 2009

BERINGAT-INGATLAH MELAYU...

Mungkin ramai yang telah membaca artikel Ustaz Ridhuan Tee Abdullah dalam akhbar Mingguan Malaysia baru-baru ini. Artikel tersebut, sebenarnya satu luahan rasa ikhlas dari seorang saudara Islam berbangsa Cina, kepada bangsa Melayu berkenaan sikap sesetengah bangsanya sendiri yang tidak beragama Islam, serta bersikap rasis, ultra kiasu dan anti Islam (DAP).

Inilah natijahnya, apabila Melayu yang terlibat dalam politik, menjadikan gelanggang politik sebagai tempat untuk menyemai rasa benci, dendam, khianat, taksub, menyemaikan benih-benih perpecahan dan bukannya sebagai tempat untuk menegur dan memperbaiki kelemahan.

Hari ini, Melayu juga secara semberono telah menjadikan medan politik ini sebagai tempat untuk meraih kuasa, tempat mencari populariti dan tempat untuk membenamkan pihak lain, serta memenangkan puaknya tanpa mengira cara. Akhirnya, kerana kebodohan orang Melayu di dalam dunia politik, maka golongan yang berfikiran rasis, ultra kiasu dan juga anti Islam seperti DAP, mula mengambil kesempatan.

Melayu perlu sedar, dalam situasi hari ini, apakah berbaloi hanya kerana dengki, marah, dendam, sakit hati, tak dapat projek, tak dapat AP, tak dapat permit, maka ada sesetengah Melayu yang sanggup bekerjsama dengan puak-puak cauvanis yang hanya ingin mengambil kesempatan bagi merealisasikan impian mereka yang pastinya akan menghancurkan institusi Islam dan pemerintahan Melayu di negara ini.

Baru sahaja memang dalam pilihanraya tidak sampai sepenggal, golongan bangsa Cina yang berfikiran rasis, tidak bersyukur dan anti Islam di dalam DAP, sudah mula lantang menghina Islam. Mereka seolah-olah sudah lupa, majoriti rakyat di negara ini beragama Islam dan sebahagian besar undi yang menyebabkan mereka mempunyai kuasa datangnya dari orang-orang Melayu yang sebenarnya tertipu dengan cara politik dan propaganda puak extremist ini.

Ustaz Ridhuan Tee telah dicerca dan dihina, kerana menulis artikel tersebut. Akhbar-akhbar Cina, dengan rasisnya mengatakan bahawa Ustaz Ridhuan Tee telah diupah oleh puak-puak UMNO, untuk menulis artikel tersebut. Malah, mereka juga tidak segan-segan untuk membela isu anak luar nikah dengan membenarkan perlakuan tersebut, yang menurut mereka, tidak ada salahnya.

Kami yakin, ramai diantara bangsa Cina yang tidak setuju dengan prinsip dan ideologi DAP yang terlalu rasis dan extremist, yang sekiranya tidak dibendung, maka kelakuan dan sikap mereka ini akan menyemarakkan lagi api perkauman yang kini bagaikan api dalam sekam. Kami yakin, ramai dikalangan bangsa Cina yang ingin hidup aman dalam masyarakat yang berbilang bangsa di negara ini.

Kepada bangsa Melayu, sedarlah. Jika tidak suka kepada pemerintahan UMNO, undi bangsa Melayu boleh diberikan kepada PAS. Namun jangan sesekali bangsa Melayu memberikan undi kepada DAP, yang kebanyakkan ahlinya berfikiran rasis yang extremist dan anti agama.

Namun dalam keadaan hari ini, untuk memberikan undi kepada PAS, PAS perlulah membuktikan, bahawa mereka tidak tunduk kepada DAP. Namun, dalam situasi terkini seperti yang berlaku di Penang dan Selangor, nampaknya, suara PAS tidaklah segarang mana.

Akhirnya mereka bersalaman dan berpelukan juga dengan golongan-golongan yang terang-terang anti agama, rasis, menghalalkan arak dan memandang berkesedudukkan sebelum nikah bukan sesuatu yang dianggap salah. Mereka lebih sanggup berpeluk dengan golongan itu daripada bersama-sama menyahut seruan perpaduan bersama UMNO dan umat Islam yang lain.

Berbalik kepada artikel Ustaz Redhuan, dalam hal ini, beliau sebenarnya telah menyedari natijah penulisannya itu kelak :

Saya rela menjadi tidak popular di kalangan masyarakat saya sendiri, tetapi bangunlah wahai umatku, jangan lagi kita dipermainkan oleh mereka yang licik ini. Lain di luar, lain di dalam. Saya kena bercakap kerana orang Melayu/Islam tidak berani bercakap kerana takut kehilangan kuasa politik. Saya rela dikutuk dicerca dan dihina oleh bangsa sendiri, tetapi saya tidak sanggup melihat Islam merempat di bumi sendiri. Perjuangan kita tidak pernah selesai selagi hayat dikandung badan.

Mereka turut bertanya, adakah saya dipaksa atau diupah oleh Utusan Melayu atau UMNO untuk menulis artikel ini. Saya jawab tidak. Saya sudahpun jawab dalam artikel minggu lepas. Saya tidak pasti mereka faham atau tidak tulisan saya dalam bahasa Melayu. Tulisan dan idea ini datang dari hati naluri seorang rakyat berbangsa Cina kerdil, yang amat ingin melihat umat Islam sedar, di manakah kedudukan kita sebenarnya.

Malangnya, hanya kerana artikel saya diterbitkan dalam Mingguan Malaysia, marahnya begitu meluap-luap sehingga emosi menguasai diri. Saya dituduh tali barut UMNO. Inilah mentaliti kelas ketiga yang sukar diubah akibat ketaksuban. Komen-komen ini langsung tidak menunjukkan kematangan dan hanya mempamerkan kebodohan diri sendiri. Inilah golongan tidak bersyukur dan ultra kiasu yang masih tidak sedar diri.

DAP dan orang Cina perlu ingat, Melayu tidak dapat dipisahkan dengan Islam. Agama Islam dan Melayu ibarat darah dengan daging. Pendek kata, setiap manusia memerlukan agama, sebab agama itu datang daripada Tuhan. Suka atau tidak kita dengan agama, diakhirkan nanti kita tetap kembali kepada agama. Jika tidak, maka tidak perlulah dilakukan upacara kematian mengikut agama.

Ini budaya yang telah melingkungi pemikiran mereka walaupun kita sudah merdeka 52 tahun. Pemikiran mereka masih tidak merdeka, masih dikongkong oleh ketaksuban terhadap bangsa. Mereka menuduh UMNO rasis, mereka apa kurangnya. Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.

Alhamdulillah, dengan peristiwa dan artikel ini, saya lebih mengenali sifat ultra kiasu bangsa saya sendiri yang selama ini saya kaji. Saya baru sedar betapa hipokritnya segelintir bangsa saya. Mereka tidak pernah bersyukur tetapi teramat takut kalah dan mahu sentiasa menang (kiasu). Fakta dan kebenaran dikelirukan bagi menagih simpati dan agenda politik tersembunyi.

Dalam hal ini, apabila ada puak-puak yang cuba menghina Islam, mempelekehkan umatnya serta mengeji syariahnya, umat Islam secara keseluruhan tanpa mengira parti dan kefahaman atau ideologi politik, tanpa mengira bangsa atau pangkat, perlu bangun mempertahankan Islam. Islam bukan hanya untuk orang Melayu, bukan hanya untuk orang PAS dan bukan hanya untuk orang UMNO, tetapi Islam adalah milik semua tanpa mengira sempadan.

Jelas dalam hal ini, Ustaz Redhuan Tee telah menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim dengan penuh berani, dalam membela agama Allah di bumi Malaysia ini.

Kepada bangsa Melayu, belajarlah dari sejarah. Setiap manusia ada kelemahannya dan setiap pemerintahan ada cacat cela-nya. Saidina Usman r.a. telah dibunuh oleh golongan pemberontak hanya kerana ketika itu, Saidina Usman r.a. mengekalkan beberapa gabenor yang dianggap lemah.

Ketika itu, yang membela Saidina Usman ialah rakan-rakannya yang juga para sahabat Nabi saw yang terdiri dari Saidina Ali, anaknya Hassan Husin dan juga para sahabat lain seperti Zubair Ibnu Awwam.

Salah seorang anak Saidina Abu Bakar yang bernama Muhammad, malangnya telah terpengaruh dengan hasutan pemberontak dan ketika menyerbu ke rumah Saidina Usman, Muhammad berjaya menghadap Saidina Usman lalu memegang janggutnya. Ketika itu, Saidina Usman berkata, " Sekiranya ayahmu nampak apa yang dilakukan engkau terhadap ku...,"

Mendengarkan kata-kata itu, Muhammad tersedar tentang kesilapannya lalu menangis dan berpaling dari pemberontak-pemberontak tersebut untuk kembali membela Saidina Usman, yang akhirnya syahid dibunuh oleh para pemberontak.

Jika kita berada dalam keadaan itu, disebelah siapakah kita akan berdiri? Saidina Usman yang dianggap lemah kerana mengekalkan gabenor yang lemah, ataupun di sebelah pemberontak yang sanggup membunuh seseorang yang begitu berjasa dalam menyumbang harta dan jiwa dalam menegakkan Islam hanya semata-mata kerana beliau mengekal beberapa gabenor yang lemah di dalam pemerintahnya?

Janganlah semata-mata kerana dengki tidak dapat projek, tidak dapat permit teksi, tidak dapat AP, tidak dapat jawatan, kita sanggup memberikan laluan kepada golongan yang rasis, extremist dan anti agama untuk memerintah kita dengan mengharapkan mereka memberikan apa yang kita tidak dapat semasa kita diperintah oleh umat Islam, dan sanggup memekakkan telinga mendengar mereka menghina dan mengutuk Islam serta memperlekehkan maruah bangsa Melayu di bumi tumpah darah kita...berbaloikah semua ini?

0 comments:

MESTI BACA

SEJARAH PERJUANGAN

PEMERINTAH, ULAMA DAN RAKYAT

Copyright 2010 Suara Pekembar
Newbie Friendly theme By: Ikhsan Hafiyudin | Powered and Hosted By: Blogger.com