Biarpun isu tersebut agak panas, namun kami yakin, ada jalan penyelesaiannya selain daripada pendekatan yang berbentuk kekerasan dan penghinaan. Pendekatan yang diambil, dengan meletakkan kepala lembu di hadapan pintu masuk SUK, tidak membawa sebarang faedah selain menyinggung sensitiviti orang lain.
Perlu diingat, bukan semua masyarakat kaum India yang bersetuju dengan sikap extreme hindraf atau golongan yang seangkatan dengannya. Banyak di antara kaum India yang sedar, bahawa Malaysia ini, adalah negara di mana mereka dapat hidup aman damai, mencari rezeki untuk keluarga dan anak bini. Mereka juga tidak mahu, tempat tinggal mereka menjadi huru hara. Begitu juga dengan kaum cina dan kaum yang lain.
Semestinya kita tahu, sebagai orang Islam, di dalam al Quran Allah swt melarang umat Islam daripada mencerca atau menghina agama orang lain. Kita tidak sesekali dibenarkan untuk menghina agama orang lain, biarpun kita tahu, akidah Islam itulah yang sebenarnya. Malah kita juga tidak boleh memaksa orang lain untuk memeluk Islam. Kita hanya diperintahkan Allah untuk menyebarkan Islam, itu sahaja.
Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain dari Allah, kerana mereka kelak, akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan (amal perbuatan) mereka. kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah kerjakan- Surah Al-An'am ayat 108
Selain itu, kita juga diperintahkan Allah supaya menggunakan saikologi dan pendekatan yang lembut, sekiranya mereka yang bukan Islam, tidak menggunakan cara kekerasan seperti mengistiharkan perang atau tindakan membakar masjid dan seumpamanya.
Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka (orang yang melampaui batas dalam perdebatan, yang membangkang, membantah dan tetap menyatakan permusuhan) dan katakanlah (kepada mereka): Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri-Surah al 'Ankabuut ayat 46
Kita sememangnya diwajibkan memerangi fitnah yang dilemparkan oleh golongan tertentu terhadap Islam. Sejak akhir-akhir ini, memang wujud usaha beberapa puak tertentu yang seolah-olah, cuba untuk memprovokasikan umat Melayu di negara ini dengan pelbagai kutukan dan hinaan serta campur tangan mereka dalam urusan agama Islam di negara ini.
Dalam hal ini, kita diperintahkan agar 'memerangi' golongan pemfitnah Islam itu. Namun, cara yang digunakan untuk memerangi mereka, mestilah setimpal dan tidak melampaui batas. Allah swt tidak suka kepada mereka yang melampaui batas.
Sebagai contoh, sekiranya mereka menggunakan dunia cyber dan multimedia untuk menyerang Islam, maka kita juga perlu menggunakan kaedah yang sama untuk mempertahankan Islam. Namun, jika golongan ini menggunakan kekerasan, maka kita juga perlu menggunakan kekerasan sebagai tindak balas yang setimpal dengan perbuatan yang mereka lakukan.
Justeru itu, pada hari dan saat ini, dalam situasi politik yang agak panas namun masih terkawal, pendekatan yang digunakan dalam demonstrasi ini secara tidak langsung, telah menjadi back fire kepada UMNO.
Jika berdasarkan kecelaruan dan kekalutan fitnah yang sedang melanda di kalangan masyarakat, dikala ada beberapa pihak opportunis yang sedang menangguk air yang keruh bertujuan untuk memporak perandakan keharmonian kaum di negara ini, maka dengan itu, pendekatan demo yang digunakan ketika membantah pembinaan kuil itu amat-amatlah tidak wajar sekali.
Jika dilihat, blog atau laman web pembangkang, dengan mudah mengaitkan demonstrasi itu dengan UMNO, biarpun tidak ada sepanduk yang tertulis bahawa itu adalah demo dikalangan ahli-ahli UMNO.
Pendirian ini bukanlah semata-mata untuk memenangi hati mereka yang bukan Islam dalam hal-hal yang melibatkan politik, tetapi ia adalah satu kebenaran dan perintah yang termaktub di dalam al Quran. Segala perintah termaktub di dalam Al Quran tidak boleh dipandang remeh, kerana setiap perintah di dalam Al Quran itu perlu dipandang sama beratnya dengan perintah solat, puasa, zakat, haji dan lain-lain.
0 comments:
Post a Comment