PUTRAJAYA 19 Sept. – Wisma Putra memperoleh maklumat bahawa ada pihak tertentu dari Amerika Syarikat (AS) mempergunakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperkotak-katikkan dan menghuru-harakan Malaysia.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, pihaknya dimaklumkan ada rancangan daripada pihak tertentu di AS untuk memastikan Anwar menjadi pemimpin hadapan bagi memudahkan kepentingan negara itu ‘masuk’ ke Malaysia.
Dalam satu strategi penjelasan untuk menangkis tohmahan pihak asing yang menyokong Anwar, Rais berkata, Wisma Putra akan menganjurkan satu seminar yang disertai duta-duta Malaysia yang bertugas di AS, Eropah dan Amerika Selatan di Washington pada 23 September ini.
“Apa sebabnya pihak tertentu di AS begitu taksub nak masuk ke negara ini, bukan kerana sayangkan Anwar, tetapi hendak melihat Malaysia gagal dalam banyak hal.
“Mereka (AS) tak sentuh Thailand, (politik) negara itu lagi teruk (berbanding Malaysia), tapi mereka lebih cenderung kepada Anwar supaya menjadi orang suruhan ketuanya (AS). Dari sudut itu, kita (duta-duta Malaysia) kena tangkis,” kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Rais akan berlepas ke New York esok untuk mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan berada di sana dari 27 September hingga 1 Oktober untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).
Rais berkata, seminar yang akan dipengerusinya itu nanti akan menyediakan duta-duta berkenaan fakta lengkap mengenai sistem perundangan dan kedudukan ekonomi Malaysia termasuk penjelasan tentang Bajet 2009.
“Pihak tertentu di AS ‘kenakan’ kita dan kita harus berkebolehan mengetahui fakta-fakta terbaru tentang perundangan, ekonomi serta soal-soal politik tanah air,” ujar beliau.
Rais menambah: “Fakta-fakta itu kita sediakan kerana kita tidak mahu duta-duta Malaysia membuat penjelasan melulu.”
Beliau juga berkata, keyakinan tinggi Anwar menguar-uarkan pembentukan ‘kerajaan baru’ sejak beberapa bulan lalu mencetuskan keraguan di kalangan banyak pihak tentang siapa di belakang Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.
Walaupun akhirnya terbukti apa yang dirancang tidak menjadi kenyataan pada 16 September lalu, namun Anwar masih terus mencanangkan impiannya itu dengan menuntut satu sidang khas Parlimen diadakan pada 23 September ini.
Alasan yang diberikan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk meminta sidang khas itu diadakan adalah bagi membolehkan usul undi tidak percaya dikemukakan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Bagaimanapun Abdullah tidak melayan permintaan itu.
sumber Utusan Online
0 comments:
Post a Comment