Sep 4, 2008

ROSAK ULAMA, ROSAKLAH UMMAH

Seruan Datuk Zahid Hamidi terhadap para ulama agar tidak menyebelahi parti politik dianggap amat kena sekali pada tempatnya. Sememangnya, para ulama tidak boleh bersikap condong ke mana-mana pihak, dan membuat keputusan di atas prinsip Islam berdasarkan al Quran dan Hadis.
Apatah lagi, dalam keadaan umat Islam, khususnya orang melayu, dalam keadaan keliru akibat situasi politik dalaman yang kini semakin mencabar kedudukan bangsa Melayu, terutamanya agama Islam.

Dalam keadaan hari ini, peranan ulama amatlah penting, kerana ulama boleh dikatakan sebagai rangking kedua terpenting yang menjadi rujukan pad umat Islam, dan boleh dikatakan sebagai satu tonggak perpaduan umat.

Tetapi malangnya hari ini, ramai di antara mereka yang bergelar ulama, condong ke arah parti politik. Tanpa mereka sedari, dengan berpihak ke satu golongan, maka mereka telah meletakkan tahap seorang ulama itu ke tempat yang tidak sepatutnya.

Ulama, ialah antara insan yang dikurniakan ilmu oleh Allah swt. Tugas ulama ialah untuk menyampaikan ilmu tersebut kepada sesiapa sahaja, biarpun jahat mana insan itu sekalipun, mereka perlu menyampaikan dakwah mereka.

Bukan sahaja terhadap muslim yang sudah terpesong, bahkan kepada bukan Islam mereka lebih utama untuk mereka berdakwah. Apatah lagi dalam keadaan ajaran Islam yang sedang dipandang serong hari ini.

Namun, di manakah gerakan dakwah yang dipelopori oleh ulama di negara ini? Apakah 14 mufti di setiap negeri, atau ulama-ulama yang ada di negara ini pernah duduk semeja pada setiap minggu, atau setiap bulan, bagi membincangkan permasalah ummah yang sebenarnya terbeban di bahu mereka?

Pernah satu ketika, ketika bertugas di Utusan Malaysia, penulis menghubungi seorang yang dianggap ulama, untuk mendapatkan komen beliau tentang kenyataan seorang menteri Islam yang mencadangkan agar pub di negara ini dibuka sehingga pukul lima pagi.

Sangka penulis, pastinya ulama tersebut akan memberi ulasan yang bernas, serta menentang sekeras-kerasnya cadangan tersebut. Namun, penulis berasa kecewa, kerana jawapannya berbunyi, “Awak tanyalah orang lain dalam bidang tu. Saya ni orang kerajaan,” ujar menolak permintaan penulis.

Dengan nada kecewa, penulis menyindir ‘ulama’ tersebut dan mengatakan bahawa penulis faham akan kedudukannnya. Bagaimanapun, seolah-olah terasa dengan sindiran penulis, maka ulama tersebut akhirnya turut memberikan komen. Dan akhirnya, perkara tersebut dibawa ke Parlimen dan diputuskan bahawa semua kelab malam di sekitar Kuala Lumpur tetap ditutup pada pukul satu pagi.

Persoalannya, apakah golongan yang menganggap ‘saya ini orang kerajaan’ boleh dianggap sebenar-benarnnya ulama atau digelar ulama?

Begitu juga dengan kisah seorang ulama tersohor. Dahulunya, beliau tidak berpihak pada mana-mana parti politik. Orang UMNO atau orang PAS, masing-masing tidak ragu-ragu untuk mendengar ceramah dan penjelasannya.

Namun, setelah mengisytiharkan dia menyertai satu parti politik, maka, golongan parti politik yang lain mula menganggap, ulama ini juga mempunyai kepentingan diri, walapun sebenarnya tidak.

Akhirnya perbuatan ini menjadi fitnah, dan membuatkan sebahagian golongan dari parti yang lain itu, mula menjauhi ceramah-ceramah ulama tersebut yang dianggap sebagai ceramah politik, dan tidak lagi membeli kaset-kasetnya. Kerana keputusannya itu untuk berpihak kepada satu puak, maka secara tidak langsung, beliau telah menafikan hak golongan yang lagi satu, untuk menerima dakwah dan peringatan.

Jadi, apakah ini sebenarnya tugas ulama di negara ini? Memihak ke satu puak, dan kemudiannya menghentam satu puak? Bukankah itu namanya mengundang perpecahan, yang membawa laknat dari Allah swt? Bukankah orang yang suka kepada perpecahan itu Allah samakan dengan kaum Nasrani dan Bani Israel? Tidakkah kita hari ini bersikap sama seperti mereka?

Malah, ada juga yang dianggap ulama, menghentam ulama lain dengan perkataan yang kasar dan kesat. Ulama ini mungkin menganggap salah satu kakinya telah berada di dalam syurga, dan mengatakan ulama lain sebagai setan dan sebagainya. Apakah ini sikap seorang ulama Islam? Bermusuhan dengan ulama lain secara terang-terang dan memaki hamun dalam kata-katanya? Inikah akhlak ulama dalam Islam??

Sebab itulah, Islam difitnah. Bukanlah barat yang memfitnah Islam, tetapi akhlak penganut Islam bahkan sebahagian golongan yang bergelar ulama sendiri yang menyebabkan Islam itu terfitnah. Sebab itulah, masyarakat Islam hari ini berkeceramuk pegangan agamanya.

Inilah juga sebabnya, mengapa ramai orang-orang bukan Islam yang sudah memeluk Islam, ingin keluar dari agama yang mulia dan suci ini. Inilah masalah yang akan timbul apabila sikap ulama di sesebuah negara yang mula mementingkan duniawi, daripada ukhrawi.

Inilah akibat memandang kuasa politik itu boleh merubah segalanya, memandang pangkat, harta sebagai jaminan keselamatan di dunia dan akhirat dan terlupa bahawa Allah itu sebenarnya yang lebih berkuasa.

Sebab itu jugalah, Rasulullah saw, telah berpesan kepada kita, dengan pesanannya yang bermaksud, “Jika rosaknya ulama dan umarak, maka hancur dan rosaklah masyarakat di sesebuah negara itu,”

sumber Warisan Pusaka Muhammad

0 comments:

MESTI BACA

SEJARAH PERJUANGAN

PEMERINTAH, ULAMA DAN RAKYAT

Copyright 2010 Suara Pekembar
Newbie Friendly theme By: Ikhsan Hafiyudin | Powered and Hosted By: Blogger.com