Sep 3, 2008

MEMILIH KETUA ATAU PEMIMPIN?

Hari ini, kepercayaan masyarakat terhadap parti UMNO, dikatakan semakin goyah dan mula pudar Perkara ini dapat dilihat dengan jelas, sejak berlansungnya piliharaya ke 12 baru-baru ini. Sekali lagi diulang, kekalahan BN pada lima buah negeri itu sebenarnya lebih kepada faktor, pengundi Melayu beralih arah dalam menentukan kerajaan mereka dan yang terbaru, di Permatang Pauh dikatakan merupakan satu lagi signal bagi UMNO.

Manakala jika dilihat daripada kaum Cina dan India, kebanyakkan dari mereka membuat keputusan untuk tidak memangkah parti MCA dan MIC yang menjadi parti komponen BN, sebaliknya memangkah parti pembangkang, termasuklah parti PAS seperti yang disaksikan oleh penulis sendiri.

Seperti pengalaman penulis ketika hari mengundi di sekolah Rendah Taman Ehsan, Kepong, di mana beberapa anak muda berketurunan Cina dalam lingkungan 20-an, menyapa seorang perayu undi parti PAS, seorang makcik melayu dalam lingkungan 60-an.

Anak muda itu datang sambil tersenyum, lalu menyerahkan sekeping kertas kempen PAS, dan mengatakan "kami sokong PAS". Kemudian, ketika mahu menaiki kereta yang berada di hadapan kami, sekali lagi dia mengatakan, "kita undi dia orang untuk kerja sama kita, bukan untuk jadi tokeh. Sekarang, ini orang sudah jadi tokeh, kita pula jadi kuli. Dia orang sudah lupa,” kata anak muda itu sambil tersenyum.

Jadi, apa kesimpulannya dari kisah tersebut. “DIA ORANG SUDAH LUPA” itulah kata-kata anak muda berbangsa Cina itu yang sebenarnya patut kita renungi. Ini bermakna, ahli-ahli Parti, termasuk segelintir para pemimpinnya sudah lupa, bahawa mereka itu sebenarnya kuli kepada rakyat, dan bukannya tauke yang memperhambakan rakyat seolah-olah rakyat itu pekerja mereka.

Penulis tidak mahu menyentuh tentang parti bangsa lain, tetapi ingin mengkhususkan kepada parti UMNO, parti keramat yang dilhamkan oleh Allah swt sebagai jalan untuk menyelamatkan Islam, Bangsa Melayu dan Tanahair daripada dirampas haknya oleh penjajah British ketika zaman penjajahan ‘orang putih’ dahulu.

Dengan penubuhan UMNO pada 1946, hasil usaha dan jihad Dato On Jaafar (semoga Allah rahmati rohnya) menyatu padukan orang Melayu, dan disambut dengan semangat kebangkitan orang-orang Melayu, akhirnya dua tahun selepas itu, rancangan Malayan Union di batalkan.

Itulah sejarah perjuangan UMNO, yang akhirnya membawa kepada susur galur kepada perjuangan kemerdekaan, yang akhirnya melalui UMNO, orang Melayu telah diberikan kuasa memerintah oleh Allah swt di dalam negara ini.

Berbalik kepada situasi hari ini, benarlah seperti kata Naib Presiden UMNO, Tan Sri Dato Muhyiddin Yassin, bahawa UMNO perlu berubah. Tumpuan utama kepada kita, ahli akar umbi, iaitu ahli-ahli biasalah yang sebenarnya menentukan perjalanan dan hala tuju parti.


Jika kita bersepakat dalam memilih pemimpin yang baik dan tidak berkepentingan sendiri, maka UMNO dengan sendirinya akan menjadi satu parti pemerintah yang gagah, serta mengutamakan kepentingan rakyat dari kepentingan diri sendiri.

Mahu tidak mahu, sedar atau tidak, kita sebagai ahli-ahli UMNO, perlu mengakui bahawa kebanyakkan pemimpin baik peringkat tinggi mahupun rendah, sudah tidak lagi berjuang kerana agama, bangsa dan negara, sebaliknya hanya berjuang untuk mengekalkan kekuasaan dan merayu undi dengan kata-kata retorik yang tidak bermakna.

Lebih buruk lagi, apabila ada dikalangan sesetengah pemimpin, yang sudah mula membudayakan UMNO dengan wang ringgit untuk meraih undi. Ini adalah satu perbuatan yang boleh dianggap sebagai satu perbuatan khianat kepada agama, bangsa dan negara dan juga parti, kerana perbuatan sedemikian akan menghancurkan kekukuhan dan prinsip parti pada masa yang akan datang.

Fahaman materialistik ini bukan sahaja setakat ditahap memancing undi, bahkan lebih teruk lagi, apabila ada sesetengah ahli UMNO yang memasang poster ketika pilihanraya, bahkan untuk membantu kenduri pun, ahli-ahli akan bertanya terlebih dulu, ada imbuhan atau tidak. Jika ada, maka mereka akan datang dan jika tidak, bayang mereka pun tak akan kelihatan.

Inilah yang berlaku apabila sesetengah pemimpin UMNO membudayakan ahli dengan pemikiran materialistik yang menyebabkan terhapusnya nilai-nilai murni seperti gotong royong, amal jariah, sedekah, jihad dan sebagainya.

Perkara seperti inilah yang menyebabkan kempen pilihanraya UMNO pada pilihanraya yang lepas tidak segah parti-parti pembangkang. Masakan tidak, di sekitar Kepong, ada petugas yang meninggalkan banner untuk dipasang, semata-mata kerana tidak ada imbuhan sebanyak RM20 atau RM30 di atas penat lelah mereka.

Dalam hal ini, kita boleh lihat bagaimana bersungguh-sungguhnya ahli parti Pembangkang, sebagai contoh parti PAS membantu parti mereka. Ahli-ahli dan penyokongnya berkorban harta, tenaga dan wang ringgit mereka untuk memperjuangkan dasar parti mereka. Keikhlasan dan kesungguhan mereka dalam membantu parti yang menaungi mereka, tidak perlu dipertikaikan lagi. Ini sangat-sangat berbeza dengan cara dan pendekatan ahli-ahli UMNO hari ini.

Selain itu, tidak dapat dinafikan juga, terdapat sekelompok ahli dan pemimpin UMNO lebih mementingkan apa projek yang masuk boleh dibawa masuk ke dalam kantung mereka, dan membelakangkan amanah rakyat. Senario ini berlaku di mana-mana termasuklah diperingkat cawangan.

Malah, ada sesetengah pemimpin yang menggula-gulakan ahli semata-mata kerana mahu mengekalkan kuasa! Sedangkan visi dan misi, serta kesungguhannya dalam membantu masyarakat tidak pernah dapat dilihat, sepanjang individu itu memegang kuasa!

Apakah UMNO ini adalah satu syarikat untuk meraihkan imbuhan, pangkat dan kemasyhuran, ataupun UMNO adalah sebuah parti yang berjuang untuk mengekalkan bangsa Melayu sebagai Tuan yang baik hati, pemurah, adil dan bertoleransi sesama bangsa dan juga kepada bangsa lain di bumi Tanah Melayu ini?

Ada sesetengah pula, yang bertanding di peringkat Cawangan atau Bahagian, semata-mata kerana perasaan sakit hati dan tidak sebulu dengan lawannya. Jika orang seperti ini memenangi jawatan, apa sebenarnya visi yang mahu dibawanya sedangkan alasan sebenarnya untuk bertanding semata-mata kerana hawa nafsu dan bukannya kerana agenda untuk rakyat?

Sebenarnya, jika mahu berubah, diperingkat cawanganlah yang perlu diutamakan, kerana bermula daripada peringkat cawanganlah, akan lahirnya para pemimpin yang akan mengemudikan UMNO di peringkat tertinggi.

Jika sejak lahir di peringkat cawangan lagi, seseorang bakal pemimpin itu sudah dibudayakan dengan pemikiran materialis, dan menganggap jawatan dalam UMNO sebagai kerjaya politik yang mendatangkan keuntungan baginya, bagaimana kelak, dia akan menjadi pemimpin yang baik bagi masyarakat keseluruhannya?

Perlu diingatkan, pemimpin yang kita pilihlah yang menentukan masa depan sesebuah parti. Rosak pemimpin, maka hancurlah parti!

Kadang-kadang, saya jadi pelik. Tidak adakah lagi ahli-ahli UMNO yang ikhlas berjuang demi untuk Agama, Bangsa dan Negara. Apakah sudah tidak wujud orang-orang yang bersemangat seperti Dato Onn, untuk membangunkan keadaan sosial dan ekonomi orang Melayu yang semakin jauh terkebelakangan di dalam negara pada hari ini?

Saya masih menaruh keyakinan, bahawa masih ada ahli-ahli UMNO yang ikhlas dalam perjuangan. Namun, disebabkan kekecewaan, maka mereka lebih rela mendiamkan diri daripada bersekongkol dengan sesetengah pemimpin yang SUDAH LUPA TANGGUNGGJAWAB mereka.

Cuma saya mahu mengingatkan, jika benar pemimpin-pemimpin UMNO dan sesetengah ahlinya sudah menyimpang daripada dasar perjuangan Parti yang sebenarnya, maka tugas sesetengah ahli UMNO yang lain pula untuk mengingati mereka. Sedarlah hak yang ada di tangan kita. Memilih pemimpin, merupakan satu tanggungjawab besar, kerana memilih pemimpin yang salah, akan menghancurkan kita semua.

Jadi, ahli-ahli UMNO, khususnya Pemuda UMNO perlulah memikirkan samada untuk memilih seorang ketua ataupun seorang pemimpin…

Wallahualam.

-Wan Mohd Hafiz Wan Hamzah-

1 comments:

Anonymous said...

Memilih ketua atau memilih pemimpin? Dalam maknanya tu. Kalau ketua belum tentu boleh memimpin, tapi kalau pemimpin, dah tentu-tentu seorang ketua...agaknya la..

MESTI BACA

SEJARAH PERJUANGAN

PEMERINTAH, ULAMA DAN RAKYAT

Copyright 2010 Suara Pekembar
Newbie Friendly theme By: Ikhsan Hafiyudin | Powered and Hosted By: Blogger.com