Sep 12, 2008

JIHAD MELAYU MERDEKA

Tahun ini, sudah 51 tahun orang Melayu merdeka. Ini bermakna, selama itu jugalah orang Melayu Islam di tanah air ini mendapat kembali kedaulatan dan hak untuk memerintah di bumi sendiri.

Tanah Melayu, Malaya dan kini Malaysia, menjadi tanah jajahan kuasa-kuasa bukan Islam dalam waktu yang lama. Kira-kira 500 tahun.

Tempoh penjajahan yang mencecah hampir setengah kurun itu sudah cukup untuk meruntuhkan segala budaya, semangat, ideologi dan jatidiri. Seperti mana yang berlaku di beberapa buah negara bekas tanah jajahan soviet, yang kini kehilangan identiti jati diri bangsa mereka kerana begitu lama di jajah. Namun, perkara ini tidak bagi orang Melayu di negara ini.

Orang Melayu sehingga kini masih lagi tetap berpegang teguh dengan amalan kehidupan mereka, iaitu ajaran Islam. Biarpun ketika Tanah Melayu dijajah, namun orang Melayu sedikitpun tidak terjajah dari segi akidah dan agama.

Malah, penjajah ketika itu terpaksa tunduk dengan kekuatan akidah orang Melayu sehinggakan terpaksa memuliakan Islam dan membenarkan umat Islam mengamalkan ajaran Islam. Dan sehingga kini, Islam masih lagi terpelihara, walaupun tercalar di sana sini.

Begitu juga dengan khalifah Islam, iaitu Sultan. Dahulunya, kebanyakkan sultan-sultan mempunyai akhlak yang mulia, sehingga dalam riwayat kesultanan Melayu, ada Sultan yang sanggup menyamar untuk menangkap pencuri. Sehingga kini, kebanyakkan sultan-sultan Melayu di negara ini masih lagi mengamalkan sikap yang sama, biarpun tidak lagi bersama-sama untuk menangkap pencuri.

Begitulah komuniti pembentukan jatidiri orang Melayu. Semenjak kedatangan Islam di Melaka, maka ajarannya menjadi teras dalam setiap kehidupan dan perbuatan orang-orang Melayu. Baik dari sudut amalannya, mahupun akhlak fizikal dan pemikiran mereka. Bahkan, selepas itu muncul ramai tokoh-tokoh ulama Melayu yang disegani, bukan sahaja di tanah Melayu, tetapi di seluruh dunia.

Ulama-ulama Melayu yang mengajar di Kota Mekah dan Madinah bukan sedikit jumlahnya. Nama mereka begitu tersohor pada waktu itu. Dan sewaktu penjajahan British di Tanah Melayu, muncul pula pejuang-pejuang Melayu Islam yang bangkit berjuang untuk mempertahankan kedaulatan Tanah Melayu.

Nama-nama seperti Tok Janggut (murid Syeikh Ahmad Fatani), Datuk Bahaman, Mat Kilau dan ramai lagi, ketika itu cukup digeruni oleh penjajah British dulu, seperti mana mereka gerun mendengar nama-nama Ahmadinejad, Abu Musaab Al Zarkawi, Shamil Basayev dan ramai lagi pada hari ini. Kenapa penjajah begitu benci dan trauma dengan nama-nama itu? Kerana mereka itulah sebenarnya pejuang-pejuang Islam yang berjuang untuk kemerdekaan tanah air mereka.

Abu Musaab yang dikatakan terrorist itu hanya seorang rakyat biasa yang berjuang untuk membebaskan negaranya daripada cengkaman penjajahan! Begitu juga dengan Syeikh Ahmad Yassin dan sahabat-sahabat lain di di Palestin dan negara-negara Islam lain yang sedang dijajah. Mereka hanya mahu kemerdekaan bagi negara mereka dan kemerdekaan untuk mengamalkan ajaran Islam.

Jika di renung dan difikirkan, apa yang mereka mahukan? Kuasa? Pemerintahan? sehingga sanggup terjun ke medan perang yang menjanjikan maut? Mengapa golongan ini sanggup bertumpah darah, berpisah dengan keluarga, di buru dan difitnah. Mengapa mereka tidak duduk di rumah diam-diam bersama anak bini mereka, demi keselamatan diri dan keluarga mereka?

Sebabnya, mereka hanya mahu menjadi insan yang merdeka. Kerana agama Islam adalah untuk insan-insan yang merdeka. Pertama, Islam perlu merdeka kerana ia bukan hanya untuk orang Melayu atau Arab sahaja, tetapi ia untuk semua manusia.

Dan yang paling penting, Islam memberikan realiti erti kemerdekaan yang sejati apabila mengajar manusia itu tidak berharap dan bergantung sesama manusia, sebaliknya mengharapkan segala-galanya, baik rezeki dan kebaikan hidup di dunia mahupun di akhirat, semata-mata kepada Allah s.w.t. sahaja. Inilah sebenarnya satu kemerdekaan sejati!

Berbalik kepada zaman penjajah sebelum ini, ketika British menjajah Tanah Melayu, mereka menggelarkan Tok Janggut, Mat Salleh, Datuk Bahaman, Mat Kilau dengan gelaran yang sama, iaitu pemberontak kerana menentang penjajahan mereka.

Lihat hari ini, jelas Barat menggunakan tektik yang sama, iaitu memburuk-burukkan serta menggelarkan umat Islam yang menentang mereka dan Israel sebagai terorrist bagi menakut-nakutkan yang lain.

Umat Islam, khusus di negara ini perlu sedar, dalam situasi terkini perkembangan dunia, penjajahan alaf baru sebenarnya lebih hebat dari penjajahan fizikal. Penjajahan pemikiran yang menyebabkan bukan sahaja kehancuran identiti jati diri, bahkan boleh menghapuskan akidah dan iman secara perlahan-lahan.

Hari ini, sebenarnya cabaran terhadap umat Islam khususnya di negara ini bertambah tegar. Umat Islam perlu ada kesedaran dalam diri, bahawa perjuangan kemerdekaan akidah dan iman masih belum selesai.

Perjuangan hari ini lebih parah, kerana musuh yang menyerang itu tidak menjelma secara realiti, tetapi ia datang dengan bentuk hiburan dan keseronokkan, sehingga menyebabkan ramai yang lalai dan menganggap musuh itu sebagai kawan dan menganggap kawan itu sebagai musuh. Dalam membangkitkan tamadun ummah, ia tidak boleh dilakukan dengan sambil lewa dan tidak bersungguh-sungguh.

Di sinilah seruan jihad memainkan peranan. Jihad menurut definasi ulama ialah melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh semata-mata kerana Allah s.w.t. Tidak kiralah apa saja yang kita lakukan. Bekerja untuk memelihara keluarga, mencari ilmu, berdakwah, berbuat sesuatu untuk kebaikan dan sebagainya, juga adalah satu jihad.

Jihad juga akan menjadikan seseorang itu ikhlas dan setiap apa yang dilakukannya dan hanya mengharapkan ganjaran Allah s.w.t. semata-mata dan tidak pula kerana kepentingan diri sendiri.

Jihad bukanlah tertakluk hanya kepada peperangan seperti mana yang ditafsirkan dan difahami oleh oleh para orientalis barat yang pemikiran mereka masih belum merdeka.Di dalam Islam, sekiranya sesebuah negara di serang, maka secara otomatik perintah jihad qital terhadap umat Islam akan bermula. Islam memerintah umatnya agar memelihara bukan sekadar agama, tetapi juga bangsa dan negara.

Tetapi dalam keadaan aman dan tenang seperti di negara ini, sudah tentulah pendekatan jihadnya berlainan cara. Berdasarkan situasi hari ini, umat Islam sebenarnya tetap perlu berjihad mengikut pendekatan yang sesuai dan relevan serta perlu bijak menilai dan meneliti serta memperbaiki segala kepincangan serta masalah dalaman yang sedang dihadapi oleh umat Islam, khususnya orang Melayu.

Jihad bagi umat Islam di negara ini adalah untuk memerdekankan kembali pemikiran jumud, taksub dan mengikut secara buta tuli dikalangan umat Islam di negara ini. Selain itu, menyeru kepada perpaduan tanpa mengira ideologi politik dan memelihara Islam, serta mengeratkan hubungan persaudaraan, peningkatan ilmu dan ekonomi di kalangan umat Islam, adalah satu perjuangan baru bagi generasi Melayu Islam moden hari ini.

Perlu di ingat, Islam tidak mengajar umatnya agar menjadi lemah, jahil dan taksub seperti mana yang difahami oleh orang-orang bukan Islam termasuklah orang Islam yang belajar tentang Islam melalui para orientalis barat.

Islam juga tidak pernah mengajar umatnya agar tidak menggunakan akal, menilai dari sudut yang sempit dan sentiasa beremosi amarah dalam menegakka hujah, tetapi sebaliknya Islam mengajar umatnya agar beriman kepada Tuhan yang satu, bijaksana dalam perbuatan, ikhlas dalam perjuangan dan sentiasa melakukan sesuatu yang dapat memberi manfaat bukan hanya kepada umat Islam, tetapi juga kepada semua manusia.

-Hafiz Hamzah-

0 comments:

MESTI BACA

SEJARAH PERJUANGAN

PEMERINTAH, ULAMA DAN RAKYAT

Copyright 2010 Suara Pekembar
Newbie Friendly theme By: Ikhsan Hafiyudin | Powered and Hosted By: Blogger.com