Aug 30, 2008

SEKADAR SATU RENUNGAN

Mahu tidak mahu, orang Melayu kena akui, masyarakat Melayu hari ini, banyak dilanda masalah. Tidakk habis-habis dan tidak putus-putus. Dari hari ke sehari, semakin kronik. Gejala mat rempit, bohsia, rewang, pil kuda, kurang pendidikan, kemiskinan, sumbang mahram dan dadah, kebanyakkannya dipelopori oleh masyarakat Melayu pada hari ini.

Ini bukan sekadar cakap kosong. Ini adalah fakta. Kalau ada yang tidak percaya, boleh siasat sendiri. Jika menyiasat sendiri adalah lebih baik, sebab ia akan memberikan kesan kesedaran yang lebih tinggi pada dalam diri seseorang itu.

Jelas, kebanyakan yang terlibat dalam gejala sosial seperti ini, kebanyakannya terdiri daripada anak-anak remaja. Memang benar, zaman muda dianggap zaman kegilaan. Tapi malangnya, kebanyakan anak remaja hari ini, bukan lagi kegila-gilaan, tetapi memang benar-benar gila!
Hari ini, remaja berseronok sampai tidak kenal batas-batas mahupun bahaya.

Sebagai contoh, mat rempit, akhirnya berubah menjadi seorang penjenayah, apabila terlibat dalam kes-kes ragut dan sebagainya. Berbanding mat rempit dulu, mereka benar-benar gilakan motor. Gila berlumba.

Tetapi hari ini, keadaannya amat berbeza sekali. Tetapi persoalannya, salah siapakah perkara ini berlaku? Apakah sebab musababnya dan apakah kita hanya perlu menyalahkan anak-anak remaja ini sahaja?

Begitu juga dengan anak-anak remaja yang digelar sebagai bohsia. Memang sedap kita memanggil mereka bohsia-bohjan dan sebagainya. Tetapi, cuba tanya pada mereka yang digelar bohjan atau bohsia, sukakah mereka pada gelaran itu?

Satu persoalan, apakah ada usaha kita, dengan pelbagai cara untuk mendekati anak-anak Melayu yang bermasalah ini? Pernahkah kita bertanya, apakah pendekatan yang kita ambil selama ini, satu pendekatan yang sia-sia?

Ini memandangkan masalah sosial orang Melayu tidak pernah selesai, biarpun sudah beratus seminar dan kertas kerja yang dibentangkan.

Jadi, apa punca sebenarnya? Mungkin yang pertamanya, method yang digunakan pakai adalah terlalu hambar. Keduanya, pendekatan yang tidak nampak kesungguhannya. Dan ketiga pula, mungkin tidak terpancar keikhlasan daripada tindak tanduk dan perkataannya.. Boleh dikatakan, pendekatan hari ini lebih kepada bentuk hiburan dan bukannya pendekatan untuk memantapkan iman.

Pendekatan pemantapan iman di kalangan remaja ini sepatutnya lebih diutamakan berbanding daripada pendekatan, mengajak mereka meninggalkan ‘hiburan’ dan melakukan ‘hiburan’ yang lain. Apabila mengajak mereka meninggalkan hiburan dan pergi ke satu hiburan yang lain, maka kesan terhadap diri terutama dari sudut akhlak boleh dikatakan kosong.

Namun apabila diajak kepada pendekatan iman, maka keimanan itu akan mengawal semua keadaan termasuk akhlak dan tingkah laku. Dengan iman juga, boleh menyemai rasa malu pada Allah s.w.t. yang sentiasa melihat baik dalam apa jua keadaan pun, kerana rasa malu kini sudah hilang dalam diri kebanyakkan Muslim hari ini.

Kini, video-video lucah anak-anak Melayu bertebaran di ruang internet. Begitu juga dengan gambar bogel. Malah, ada yang memang tidak segan-segan untuk memberitahu orang lain adengan yang mereka lakukan. 10 tahun lalu, perkara ini tidak terjadi terhadap anak-anak Melayu.

Ini juga melibatkan iman. Bukankah Rasulullah s.a.w. memberitahu kita, bahawa malu itu adalah sebahagian daripada iman? Jadi, ubat bagi mereka yang tidak punya rasa malu ada hanya iman semata-mata.

Keduanya, adalah pendekatan yang ala kadar. Sebagai contoh, seseorang ulama atau dae’i dikalangan masyarakat Melayu amat disanjung tinggi. Sejak beratus tahun dulu, ramai ulama tanah Melayu yang menabur bakti dan keringat, tanpa mengira apa balasan budi duniawi, antara sebab Islam masih kekal dalam diri dan adat masyarakat Melayu sehingga ke hari ini.

Boleh dikatakan, ulama merupakan tonggak semangat masyarakat Melayu sejak zaman berzaman. Tetapi apabila masyarakat Melayu dilanda penyakit sosial yang agak kronik, sepatutnya inilah masa untuk merenung dalam-dalam, apakah mereka yang bergelar ulama hari ini, menjalankan tanggungjawab mereka sebagai seorang ulama.

Apakah ilmu yang ada dalam diri mereka itu telah sedaya upaya mereka perluaskan agar sampai dakwah Islamiyah terhadap seluruh pelusuk tanah Melayu pada hari ini?

Dan adakah ketika umat dilanda masalah, bahkan telah berlakunya kes-kes murtad, mereka yang bergelar ulama atau ustaz dan ustazah ini lebih suka berceloteh di kaca tv kerana ada bayaran daripada mengeluarkan duit sendiri untuk meredah pelusuk kampung bagi bermuzakarah dan memberi nasihat secara berdepan dengan masyarakat Melayu hari ini?

Apakah hari ini ustaz atau ulama telah menjadikan ilmu Allah itu sebagai perkara untuk dijual beli dengan tujuan bagi mendapat harta dan kemewahan dunia?

Selain itu, cuba bayangkan sekiranya seorang ulama yang disegani, sebagai contoh Datuk Harussani misalnya, menziarahi anak-anak Melayu yang digelar mat rempit yang sedang melepak di Pertama Kompleks.

Cuba kita teka, apa agak-agak tanggapan mereka? Terkejut sudah pasti. Kagum…mungkin. Bayangkan sekiranya, seorang mufti yang hebat, selalu keluar di kaca tv, tiba-tiba bersama-sama mereka bersembang di kaki lima, sambil memberi nasihat dengan kata yang lemah lembut dan baik-baik kepada mereka. Apa kesannya di hati anak-anak ini?

Tapi, mungkin juga ada yang berpandangan, ini akan menyebabkan ulama itu nanti dituduh mahu berpolitik pula. Ataupun ada sebab-sebab lain yang boleh mencemar imej ulama itu sendiri.

Di sinilah sebenar terletaknya isu keikhlasan. Keikhlasan perbuatan yang dilakukan hanya semata-mata kerana Allah s.w.t. dan bukan kerana selain Allah, cahayanya akan terpancar bagaikan sinar kepada manusia lain. Keikhlasan hanya kerana Allah inilah sebenarnya menjadi penentu kepada keberkatan dakwah dan kata-kata yang keluar dari mulut seorang ulama atau ustaz.

Ada satu riwayat tentang kisah Sultanul Aulia Syeikh Abdul Kadir Al Jalaini. Dalam riwayat tersebut menceritakan, setiap kali beliau berceramah, ia akan dihadiri oleh puluhan ribu orang.
Dan setiap kali beliau selesai berceramah, hampir separuh daripada jumlah itu yang kebanyakan terdiri daripada orang-orang bermaksiat, akan bertaubat dan kembali kepada akhlak Islam. Inilah keberkatan daripada mulut seorang hamba Allah s.w.t. yang menyedari hakikat bahawa hidupnya, matinya dan ibadahnya, adalah kerana Allah s.w.t. semata-mata.

Dan setiap Muslim termasuk para pemimpin, ulama dan daei perlu merenung kembali nawaitu perbuatan mereka. Adakah solid kerana Allah s.w.t. semata-mata atau bercampur baur dengan nafsu duniawi dan kemewahan harta dunia?

Tulisan ini bukan untuk menghina atau menjatuhkan sesiapa, tetapi ia sekadar satu renungan buat kita……

0 comments:

MESTI BACA

SEJARAH PERJUANGAN

PEMERINTAH, ULAMA DAN RAKYAT

Copyright 2010 Suara Pekembar
Newbie Friendly theme By: Ikhsan Hafiyudin | Powered and Hosted By: Blogger.com