Jul 20, 2012

Jika Kekurangan Menjadi Sandaran Maka Pas Juga Adalah Musuh Allah – Dr. Fadlan


KUALA LUMPUR 19 Julai – Kenyataan Timbalan Ketua Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Aziz yang mengatakan bahawa Allah mengarahkan Pas untuk menawan Putrajaya daripada musuh-musuh Allah, merupakan satu tuduhan yang amat berat serta tidak berasas sama sekali, kata pensyarah Kanan Jabatan Pengajian al-Quran & al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, UKM, Ustaz Dr. Fadlan Othman.
Beliau turut mempersoalkan atas dasar apa Timbalan Ketua Pemuda Pas mengeluarkan kenyatan tersebut bahawa kerajaan hari ini yang ditunjangi oleh UMNO sebagai musuh Allah.
Kenyataan itu menurutnya merupakan satu tuduhan yang amat berat terhadap UMNO sebagai sebuah parti umat Islam yang kini diberi tanggungjawab memerintah negara.
Ujarnya, sepanjang  pemerintahan UMNO, beliau tidak menafikan dasar memelihara dan menegakkan syiar Islam oleh pemerintah hari ini terserlah apabila syiar-syiar Islam terus ditegakkan dari pelbagai sudut seperti pembinaan masjid, mewujudkan institusi keagamaan, menyemarakkan program-program agama, kebebasan berdakwah dan sebagainya.
“Bagaimanapun, sebagai sebuah gerakan atau parti yang diterajui oleh makhluk yang bergelar manusia, sudah pastilah ada cacat cela dan kepincangan di sana sini.
“Jika Nik Abduh mengatakan bahawa pemerintah hari ini adalah musuh Allah atas dasar kekurangan yang ada UMNO, maka saya berani kata bahawa Pas juga adalah musuh Allah, kerana mereka juga ada kelemahan dan kekurangan sama seperti UMNO dan manusia lain. Tapi lainlah kalau mereka dakwa semua ahli dan kepimpinan Pas itu maksum belaka,” tegas beliau kepada UMNO Online di sini hari ini.
Beliau turut menyifatkan kenyataan yang keluar dari mulut Nik Abduh itu sebagai satu lagi kesinambungan dari kenyataan-kenyataan kepimpinan Pas yang cuba mengelirukan ummah.
Tambahnya,  Pas sememangnya sudah lama menjadi agen mewujudkan kekeliruan di kalangan umat Islam di negara ini dengan pelbagai kenyataan dan fatwa-fatwa yang menyalahi dalil Al Quran dan Sunnah, demi untuk kepentingan dan survival cita-cita politik mereka.
“Sebelum ini, Pas juga pernah mendakwa bahawa solat itu juga adalah sebahagian dari demostrasi, bagi menghalalkan tindakan mereka berdemonstrasi.  Mereka suka menggunakan dalil Quran dan Sunnah, namun pada tempat yang salah. Sekarang ini, dia kata bahawa Allah memerintah Pas untuk menawan Putrajaya dari musuh-musuh Allah.
“Kenyatan seperti ini tidak betul sama sekali. Kata-kata seperti ini tidak patut keluar dari mulut seorang yang dianggap berilmu. Kenyataan sebegini adalah kesinambungan agenda Pas  yang menggunakan agama untuk mengelirukan rakyat awam, khsususnya umat Islam di negara ini,” tegas beliau .
Beliau juga berpendapat bahawa Nik Abduh  dipengaruhi oleh emosi yang berlebihan ketika mengeluarkan kenyataan tersebut di hadapan pengikut-pengikut Pas, ketika perhimpunan yang diadakan di Stadium Darul Aman pada awal Jun baru-baru ini.
“Maklumlah, berceramah di hadapan ribuan orang ramai, pastinya Nik Abduh bersemangat untuk meyakinkan para pengikut bahawa perjuangan Pas ini adalah tepat sehingga mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya seperti itu,” ujarnya.
Kata beliau lagi, bahawa selaku pemimpin yang mempunyai jawatan tinggi di dalam Pas, Nik Abduh tidak sepatutnya bercakap mengikut emosi yang berlebihan sehingga mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam.

0 comments:

MESTI BACA

SEJARAH PERJUANGAN

PEMERINTAH, ULAMA DAN RAKYAT

Copyright 2010 Suara Pekembar
Newbie Friendly theme By: Ikhsan Hafiyudin | Powered and Hosted By: Blogger.com