Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mengingatkan ahli UMNO agar tidak mengulangi kesilapan yang sama sepertimana yang berlaku pada pilihanraya tahun 2008 sekiranya mahu melihat UMNO terus berada di barisan hadapan menjadi tunjang kepada pentadbiran negara.
Justeru katanya ahli-ahli UMNO perlu sedar bahawa mereka mempunyai tanggungjawab terutamanya para pemimpin UMNO baik di peringkat manapun bahawa mereka mempunya peranan untuk memastikan UMNO terus kuat dan berkuasa.
“Pilihanraya tahun 2008 merupakan sejarah hitam buat UMNO. Terjadinya sejarah hitam itu lantaran kesilapan yang dilakukan oleh kita sendiri. Maka dengan itu, semua pemimpin dan ahli UMNO perlu mengambil iktibar dari kesilapan yang berlaku di tahun tersebut. Jika diulang balik, baik pemimpin besar mahupun pemimpin akar umbi, maka kita akan hadapi masalah seperti mana yang berlaku pada pilihanraya tahun tersebut.
“Oleh itu kita mesti sematkan dalam hati dan fikiran kita, sekiranya kita terus mengulangi kesilapan, baik di peringkat mana sekalipun, UMNO pasti akan menghadapi masalah pada pilihanraya kali ini. Kalau kita ingin parti terus kuat dan berkuasa, dan terus menjadi tulang belakang Barisan Nasional, maka kita perlu mengambil iktibar di atas kesilapan kita itu dan jangan diulangi,”tegas beliau ketika berucap di majlis penyerahan Larian Bendera Sang Saka Bangsa dan sambutan konvoi bermotor UMNO di Dataran Tanjung Agas, teluk Kemang.
Tambahnya lagi, sebagaimana apa yang dikatakan oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta kesemua pemimpin parti dan ahli peringkat mana sekalipun, mestilah merasai denyutan nadi rakyat. Selagi UMNO merasai nadi rakyat dan mengambil tahu permasalahan rakyat, InsyaAllah UMNO akan terus relevan pada masa kini dan akan datang.
“Sekiranya kita tidak mengambil tahu tentang permasalahan rakyat, sibuk dengan hal-hal lain sehingga mengabaikan perihal rakyat, UMNO bersikap angkuh dan sombong, maka UMNO akan punah. Kita perlu ingat, bahawa masyarakat hari ini sudah terbuka dan dan bukan seperti 50 tahun yang lalu. Masyarakat hari ini sudah berani bercakap dan mengkritik.
“Oleh sebab itu, kita sebagai pemimpin UMNO perlu sedar akan keadaan ini. Kita tidak boleh bersikap angkuh dan sombong sehingga rakyat menjadi benci dan meluat melihat tingkah laku kita. Ini adalah masa yang paling untuk kita meminta sokongan daripada rakyat agar terus menyokong kita kerana buat masa ini, UMNO dan BN mempunyai track record yang baik dalam usaha membangunkan negara yang aman dan harmoni serta pengagihan ekonomi yang adil kepada semua kaum,” katanya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang itu percaya, bahawa larian bendera Sang Saka Bangsa ini adalah sebagai pencetus semangat untuk acara kemuncak sambutan hari ulang tahun ke 66 UMNO yang akan diadakan di Bukit Jalil kelak.
Katanya, UMNO sesekali perlu memperlihatkan kekuatan agar tidak dipandang lekeh oleh puak-puak pembangkang. Cuma selama ini, UMNO tidak bersikap begitu kerana budaya yang dibawa oleh para pejuang UMNO terdahulu lebih kepada bersifat merendah diri dalam menunjukan kekuatan yang ada.
“UMNO juga ada kekuatan dan saya yakin, jika kita mahu menunjukkan kekuatan InsyaAllah, kita boleh himpunkan ratusan ribu ahli UMNO. Kita bukan mahu bercakap besar tetapi itulah realitinya. Cuma datuk nenek dan pejuang-pejuang kita tidak ajar cara yang sombong dan bongkak seperti itu.
“Pejuang-pejuang di dalam UMNO bermula di zaman Datuk Onn sehingga ke zaman Datuk Seri Najib, tidak pernah mengajar kita untuk bersikap berlagak atau kurang ajar seperti mana yang diperlihatkan oleh penyokong pembangkang ketika perhimpunan Bersih tempoh hari. Jika kita ambil tindakan yang sama untuk menentang mereka, maka sudah tentu negara akan jadi huru hara,” tegasnya.
Jelas beliau, rakyat Malaysia, terutamanya ahli UMNO perlu bersyukur mempunyai Perdana Menteri yang sabar dan berusaha mengambil pendekatan dalam menangani masalah tersebut dengan cara yang begitu berhemah dan tidak menimbulkan kepayahan dan kesusahan kepada rakyat di negara ini. -MediaUMNO
0 comments:
Post a Comment