Aug 30, 2010

DOA KEPADA BUKAN ISLAM

Baru-baru ini kita heboh dengan isu khatib mendoakan kesejahteraan dan rahmat kepada pemimpin bukan Islam dalam khutbah Jumaat di Pulau Pinang. Isu ini mendapat perbezaan kalangan ulama tanah air, ada yang melarang dan ada membolehkan.

Secara peribadi, saya lebih cenderung kepada perkataan ulama yang melarang mendoakan kesejahteraan dan rahmat kepada bukan Islam. Kecenderungan saya ini bukanlah membabi-buta tetapi insya-Allah akan disusuli dengan hujah untuk meluruskan beberapa perkara tentang isu ini. Ada kalangan ustaz membela perbuatan boleh mendoakan kepada bukan Islam dengan mendatangkan beberapa hujah berdalilkan ayat al-Quran dan sunnah Baginda Nabi SAW. Apa yang hendak diingatkan ialah doa oleh khatib terbabit ialah dalam khutbah Jumaat. Saya ingin bertanya kepada yang berkenaan dalam membela isu ini apakah perbuatan mendoakan kesejahteraan dan rahmat dalam khutbah Jumaat kepada bukan Islam pernah dilakukan Nabi SAW dan para sahabat atau para salaf?.

Tentu jawapannya tidak. Kalaulah demikian sifatnya, perbuatan tersebut adalah perkara baru yang tidak ada contohnya dalam agama, dan setiap yang diada-adakan dalam agama adalah bidaah dan setiap yang bidaah itu sesat dan setiap yang sesat itu di dalam neraka. Memang benar Nabi SAW pernah memberi ucapan "assalamualaikum" dalam majlis yang dihadiri orang bukan Islam.

Hakikat ini bukan boleh dijadikan satu dalil dalam membolehkan untuk berdoa kepada bukan Islam dalam khutbah Jumaat. Kalau kita teliti mendalam, kita akan dapati tidak pernah Nabi SAW mendoakan kesejahteraan dan rahmat kepada orang kafir dan musyrik dengan mengkhususkan ucapan salam serta doa rahmat kepada nama-nama tertentu dalam kalangan orang musyrik.

Bahkan kata Syeikh Ismail bin Marsyud ar-Rumaih dalam kitabnya Jahalatun Nas Fid Du’a (kesalahan dalam berdoa, beliau berkata : “Mendoakan orang kafir agar diberikan rahmat dan pengampunan adalah diharamkan, dan barang siapa melakukannya maka dia telah berdosa dan tidak akan dikabulkan doanya”.

Nabi SAW pernah berdoa kepada Allah SWT agar diberikan hidayah kepada orang kafir dan musyrik, sama ada secara umum mahupun secara khusus dengan menyebut nama-nama tertentu, seperti mendoakan hidayah terhadap penduduk Thaif, berdoa agar salah seorang Umar memeluk Islam dan mendoakan hidayah untuk kabilah Daus (Sahih al-Bukhari, ad-Da’waat) Ada juga golongan agama berhujah dengan kisah sahih bahawa ada sahabat Nabi SAW pernah meruqyah/jampi kepada orang bukan Islam yang terkena penyakit gila dengan al-Fatihah sehingga sembuh dan diberikan kepada sahabat 100 ekor kambing sebagai balasan.

Kisah ini dijadikan dalil dalam membela bolehnya mendoakan kesejahteraan kepada mereka. Perlu diberikan perhatian, kadangkala ada segelintir orang agama menggunakan dalil umum sebagai hujah untuk membela perkara khusus. Seperti ingin memaksa-maksa dalil tersebut agar sesuai dijadikan hujah bagi membela isu agama yang ingin ia pertahankan. Sekiranya teringin juga untuk mendoakan orang bukan Islam, carilah orang yang sakit dalam kalangan mereka lalu ruqyahkan dan jampilah agar sembuh, bukan dengan menaiki mimbar hari Jumaat yang khusus, dalam khutbah khusus dan doa yang khusus untuk mereka.

Jika benar ada pendapat ulama yang membolehkan mendoakan rahmat kepada bukan Islam selagi mereka tidak mati dan tidak memusuhi Islam; maka saya ingin membawa sebuah kisah di mana pernah ada seorang Yahudi ingin bersin lalu dia hampiri Nabi SAW dengan harapan sesudah ia bersin Nabi SAW akan mendoakannya dengan doa "yarhamukallah" (semoga Allah merahmatimu). Inilah doa yang Nabi SAW ajarkan kepada kita untuk mendoakan kepada orang Islam yang bersin.

Tetapi Nabi SAW tidak mendoakan dengan doa ini, bahkan nabi mendoakan kepada Yahudi tersebut dengan doa "yahdikumullah wa yuslihu balakum" (semoga Allah memberi hidayah kepada kamu dan membaiki hati kamu. Hadis riwayat al-Bukhari. Kisah ini membuktikan bahawa mendoakan rahmat kepada orang bukan Islam tidak pernah dilakukan oleh Nabi SAW secara khusus, kerana Nabi SAW gantikan doa "yarhamukallah" kepada "yahdikumullah wa yuslihu balakum".

Kalaulah boleh mendoakan rahmat kepada mereka tentu Nabi SAW tidak akan menggantikan doa tersebut. Kisah ini juga membuktikan bahawa tidak ada masalah untuk mendoakan hidayah kepada orang bukan Islam sama ada ia memusuhi Islam atau tidak. Mudahan-mudahan doa tersebut menjadi sebab Allah memberi hidayah Islam kepada mereka, pun begitu tidaklah juga Nabi SAW mendoakan hidayah kepada bukan Islam secara khusus dalam khutbah Jumaat, melainkan di luar khutbah Jumaat. Berhubung dengan doa Nabi SAW agar dikuatkan Islam dengan salah seorang Umar, perkara ini juga perlu diambil perhatian kerana dalam doa ini Nabi SAW secara terang-terangan memohon kepada Allah agar diberi hidayah kepada salah seorang Umar dengan disebutkan nama agar keislaman salah seorang daripada mereka akan menjadikan Islam itu kuat. Secara peribadi saya bersetuju agar setiap Muslim mendoakan hidayah kepada bukan Islam yang boleh memberi manfaat kepada kekuatan Islam. Tetapi yang perlu diluruskan adalah janganlah memilih bulu untuk mendoakan hidayah individu bukan Islam dengan hanya beberapa orang sahaja, yang kelihatannya seperti ada agenda ‘bias’ kepada ideologi politik tertentu.

Sekiranya ikhlas, kenapa tidak didoakan hidayah kepada pemimpin bukan Islam yang memimpin sebelum ini. Bahkan doakan juga sekali hidayah kepada pemimpin-pemimpin dan orang-orang kaya yang bukan Islam dengan disebutkan nama-nama mereka secara khusus, jika Allah memakbulkan insya-Allah Islam akan kuat dengan ramai orang bukan Islam menganut Islam. Malangnya, sudah tentu perkara ini tidak akan dilakukan disebabkan fahaman sempit ideologi politik sendiri.

Saya juga bersetuju sebagai seorang Muslim kita boleh berbuat baik kepada mereka dalam hal muamalat dan keduniaan seperti memberi sumbangan harta dan bergaul selagi mereka tidak memusuhi Islam seperti firman Allah, maksudnya :

“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang berlaku adil, melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang jadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahanah ayat 7-8)

Dalam ayat ini juga Allah mengingatkan kita agar tidak berteman rapat kepada orang yang memerangi Islam dan orang Islam. Tetapi yang sedihnya, individu didoakan ini sudah kita maklumi ia berada dalam parti yang secara terang-terangan menolak hukum Allah agar tidak dilaksanakan di negara ini.

Apa yang kita khuatir, terkena firman Allah yang bermaksud :

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang melakukan kezaliman nanti api neraka akan menyentuh kamu, sedangkan kamu tidak ada sebarang penolong pun selain daripada Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan” (Surah Hud: 113).

Bukankah menentang hukum Allah secara terang-terangan ini adalah satu kezaliman?! Bukankah kezaliman yang besar itu adalah syirik kepada Allah?! Seperti kata Luqman kepada anaknya “..Sesungguhnya syirik itu satu kezaliman yang maha besar”. (Surah Luqman : 13). Mana mungkin kita sewenang-wenangnya untuk cenderung kepada golongan yang membenci Islam dan syirik pula dalam beragama.

Bagi saya yang terbaik bukanlah mendoakan kebaikan kepada pemimpin bukan Islam seperti memerintah dengan adil, kesejahteraan kesihatan atau keamanan harta, tetapi yang sebaiknya ialah kita berdoa kepada Allah agar dilindungi dari kezaliman dalam pemerintahan, tidak ditimpakan bala akibat kesyirikan pemimpin dan nikmat keamanan diri serta harta tidak ditarik akibat tidak dapat memilih pemimpin Islam.

Beginilah Islam mengajar umatnya agar sentiasa memohon perlindungan daripada Allah dalam semua keadaan sebagai bukti pergantungan harapan dan kebenaran Islam itu agama rahmat kepada sekalian alam. Saya juga menyeru agar khatib yang mendoakan kesejahteraan dan rahmat kepada pemimpin bukan Islam dalam khutbah Jumaat itu segera bertaubat dan mohon keampunan kepada Allah dan membetulkan kembali kesilapan yang dilakukan agar kesucian Islam terjamin.

Semoga Allah SWT mengampunkan kita semua yang beriman kepadanya. Semoga sedikit nasihat saya ini kepada ustaz yang mempertahankan isu tentang bolehnya mendoakan kesejahteraan dan rahmat kepada bukan Islam, dapat merenung kembali isu ini seadil-adilnya, supaya kita tidak tersalah dalam mempertahankan kebenaran. Semoga Allah SWT memberi hidayah kepada kita semua dan sentiasalah kita ketahui bahawa agama itu adalah nasihat. *


Penulis ialah Ketua Biro Sekretariat Ulama Muda UMNO (iLMU)


sumber : Sinar Harian


Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim (a.s) dan pengikut-pengikutnya - contoh ikutan yang baik, semasa mereka berkata kepada kaumnya (yang kufur ingkar): "Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah yang lain dari Allah; kami kufur ingkarkan (segala penyembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah perasaan permusuhan dan kebencian di antara kami dengan kamu selama-lamanya, sehingga kamu menyembah Allah semata-mata", tetapi janganlah dicontohi perkataan Nabi Ibrahim kepada bapanya (katanya): "Aku akan memohon kepada Tuhanku mengampun dosamu, dan aku tidak berkuasa menahan (azab seksa) dari Allah sedikit juapun daripada menimpamu". (Berdoalah wahai orang-orang yang beriman sebagaimana Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya berdoa ketika mereka memusuhi kaumnya yang kafir, dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Kepada Engkaulah sahaja kami berserah diri, dan kepada Engkaulah kami rujuk bertaubat, serta kepada Engkaulah jua tempat kembali!

Surah Al Mumtahanah ayat 4

0 comments:

MESTI BACA

SEJARAH PERJUANGAN

PEMERINTAH, ULAMA DAN RAKYAT

Copyright 2010 Suara Pekembar
Newbie Friendly theme By: Ikhsan Hafiyudin | Powered and Hosted By: Blogger.com