Khairy Jamaluddin Abu Bakar muncul sebagai pemenang pertandingan Ketua Pemuda UMNO dengan memperolehi 304 undi menewaskan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan Datuk Muhkriz Mahathir.
Bagi jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO pula, Datuk Razali Ibrahim diisytihar sebagai pemenang dengan memperolehi 417 undi menewaskan pencabarnya Datuk Reezal Merican Naina Merican.
Ketua Wanita pula Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil diumum sebagai ketua yang baru menewaskan penyandang Tan Sri Rafidah Abdul Aziz dengan majoriti 227 undi. Shahrizat memperolehi 507 undi manakala Rafidah 280 undi. Keputusan diumumkan oleh Pengerusi Tetap Wanita UMNO, Tan Sri Napsiah Omar.
Sementara itu, Datuk Rosnah Abdul Rashid diumum sebagai Ketua Puteri UMNO yang baru apabila memperolehi 245 undi menewaskan lima calon yang lain. Rosnah sebelum ini adalah Naib Ketua Puteri UMNO. Shahanim Yusof pula muncul Naib Ketua Puteri dengan 355 undi tewaskan tiga calon lain.
Selain itu, dalam ucapan sulungnya sebagai Ketua Pemuda UMNO yang baru, Khairy Jamaluddin Abu Bakar minta perwakilan pemuda beri undi kepada bekas boss mereka, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang akan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO.
“Saya ada hutang yang belum selesai. Arahan pertama saya pada semua (perwakilan pemuda), esok pagi masuk Dewan Merdeka, kita kena pastikan dia menang. Saya tak boleh terima kalau dia kalah atau kurang undi,” katanya.
Katanya, amanah atau tugas yang diserahkan bekas Ketua Pemuda itu cukup berat.
“Besar tanggungjawab ini. Kalau silap, wajib tegur saya dan yang lain. Kita bukan pemimpin atau manusia terbaik. Pada bila-bila masa, kita perlu sedia ditegur,” tegasnya.
Beliau bagaimanapun mengakui kemenangannya bukan majoriti dan itu jelas tanda barisan dalam Pemuda perlu dirapatkan antara setiakawan, pemuda berani dan berani berubah. “Dalam barisan baru ini perlu ada pemuda yang berani untuk sama-sama masuk ke kubu lawan, perlu ada yang berani berubah untuk membawa perubahan kepada UMNO atau parti akan rebah,” ujarnya.
Dalam persaingan tiga penjuru itu, Khairy memperolehi 304 undi manakala Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo sebanyak 254 undi dan Datuk Mukhriz Mahathir, 232 undi.
gambar dan sumber : http://www.agendadaily.com/
p/s : Tahniah Khairy. Semoga pemuda UMNO selepas ini tidak berpecah belah dan bersatu dalam satu matlamat bagi menghadapi segala cabaran dalam usaha mengekalkan Islam diperingkat tertinggi, memperkasakan bangsa Melayu dan memakmurkan negara...
0 comments:
Post a Comment