Mar 17, 2009

PELIK

Pelik rasanya, apabila melihat beberapa orang karyawan dan ahli bahasa yang bersungguh-sungguh benar berdemonstrasi demi mempertahankan matapelajaran sains dan matematik agar terus di ajar dengan menggunakan bahasa Melayu.

Bertambah pelik, apabila isu ini, turut diwarnai dengan penampilan nama-nama besar dalam dunia penulisan dan bahasa, seperti Hassan Ahmad, termasuklah juga karyawan negara seperti A Samad. Said, yang bagi saya, secara tiba-tiba muncul di khalayak ramai dengan tidak lagi untuk memegang buku, tetapi kali ini memegang sepanduk.

Kenapa saya merasa pelik? Adakah kerana ini pertama kali saya melihat orang-orang yang menggelarkan diri mereka sebagai 'pejuang bahasa' seperti A. Samad Said dan yang seangkatan dengan beliau berdemostrasi?

Tidak. Bukan sebab itu. Saya juga tidak merasa pelik bila tiba-tiba, melihat Ustaz Hj Hadi, turut sama-sama dalam salah satu demostrasi PPSMI baru-baru ini. Tetapi, saya akan menjadi pelik, jikakalau Ustaz Hadi dan rakan-rakan pembangkang tidak campur tangan dalam hal ini.

Namun, apa  yang membuatkan saya  lebih pelik ialah, tentang isu yang diperjuangkan.

Hati kecil saya tertanya-tanya, bukankah sepatutnya, pejuang-pejuang bahasa ini berdemostrasi dengan tujuan mendesak kaum bukan Melayu, bersatu di bawah satu sistem pembelajaran, dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam pertuturan seharian dan pembelajaran, yang secara tidak langsung memartabatkan bahasa Melayu ini ke tahap yang lebih tinggi dari pencapaian yang ada pada hari ini?

Apabila ada sesetengah dari bukan Melayu yang tidak bersetuju  dan menolak konsep sekolah wawasan, bukankah secara tidak langsung, mereka sebenarnya menolak bahasa Melayu untuk menjadi bahasa rasmi pertuturan dalam satu institusi yang paling penting dalam sesebuah negara, iaitu institusi pendidikan.

Bukankah sepatutnya, pejuang-pejuang bahasa ini terlebih dulu berdemonstrasi untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pertururan rasmi bagi semua kaum di yang lahir di bumi Malaysia ini. Tahukah pejuang-pejuang bahasa ini, berapa ramai rakyat Malaysia, terutama di kalangan bukan Melayu, yang tidak tahu berbahasa Malaysia dengan baik?

Bahkan hari ini, terang-terang ada sesetengah syarikat bukan Melayu, yang mengiklankan kerja-kerja kosong secara berterus terang meletakkan syarat hanya mahu mengambil pekerja yang tahu berbahasa tertentu sahaja. Jelas, bahasa Melayu tidak lagi menjadi bahasa perniagaan mereka. Jadi, di mana nilai atau takuk bahasa Melayu di mata mereka sebenarnya?

Tapi, yang peliknya, mereka berdemostrasi semata-mata hanya kerana pelajaran matematik dan sains mahu diajar dalam bahasa Inggeris? Timbul juga persoalan, apakah sekiranya, pelajar Melayu belajar sains dan matematik di dalam bahasa Inggeris, pelajar kita akan berubah menjadi bangsa lain? Atau lidah mereka pelat untuk berbahasa Melayu semula? Atau pelajaran sains dan matematik itu menjadi dua matapelajaran yang susah payah yang amat, sehingga menyebabkan ada pelajar membunuh diri, atau menjadi gila?

Bertambah pelik, bila ada segelintir pihak yang mengatakan, pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris akan menyusahkan pelajar di luar bandar? Apakah mereka ini tidak tahu, di dalam bandar sekalipun, bukan semua pelajar Melayu boleh berbahasa Inggeris dengan baik.

Lagipun, apakah golongan ini dulu tidak pernah bersekolah? Bukankah belajar itu memang susah? Kita semua pernah ke sekolah, jadi, apakah perbuatan belajar itu, satu perkara yang mudah dan senang? Jika belajar itu perkara yang senang dilakukan, maka tidak akan berlakulah pelajar membunuh diri kerana gagal dalam pelajaran. Jadi,belajar itu memang susah dan payah. Namun jika tidak bersusah dulu, bagaimana untuk bersenang kemudian. 

Sekiranya kita tahu, anak-anak kita lemah dalam bahasa Inggeris, apa yang sepatutnya kita lakukan? Apakah kita akan menyuruh anak kita belajar dengan lebih tekun, agar boleh berbahasa Inggeris, ataupun kita menyuruh mereka melakukan perkara lain sebagai contoh, ikut turun berdemostrasi dengan pakcik atau atuk mereka yang 'ingin meringankan beban mereka' dan menghapuskan ilmu itu daripada diterima oleh mereka? 

Sedangkan, pakcik dan atuk yang berdemonstrasi itu dulunya juga bersekolah Inggeris. Mereka boleh bercakap, menulis dan membaca dalam bahasa Inggeris. Namun sehingga ke hari ini, mereka masih tetap bergelar bangsa Melayu, dan masih bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu. Bahkan mereka handal dalam kesusteraan Melayu. Mereka tidak berubah hanya semata-mata kerana mereka bersekolah Inggeris.

Pada zaman pakcik dan atuk-atuk kita,  bukan hanya belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, malah bahasa pertuturan mereka di sekolah juga menggunakan bahasa Inggeris. Hasilnya hari ini, ramai di kalangan pakcik dan atuk-atuk kita yang handal berbahasa Inggeris. Peliknya, mereka tidak pula mahu anak cucu mereka hari ini, pandai dalam bahasa Inggeris.

Sememangnya, dalam isu PPSMI ini, saya betul-betul merasa pelik dan keliru. Apakah pakcik dan atuk-atuk kita ini, sanggup turun padang berdemostrasi seikhlas hati semata-mata untuk menyelamatkan anak cucu mereka daripada menjadi bangang dan bodoh dikemudian hari, ataupun mereka hanya saja-saja atau suka-suka ingin mengambil bahagian dalam 'marathon' demonstrasi yang beberapa tahun ini menjadi tema rasmi perbualan rakyat Malaysia kebelakangan ini, yang dipelopori oleh mereka yang berkepentingan diri?


Wan Mohd Hafiz Wan Hamzah

0 comments:

MESTI BACA

SEJARAH PERJUANGAN

PEMERINTAH, ULAMA DAN RAKYAT

Copyright 2010 Suara Pekembar
Newbie Friendly theme By: Ikhsan Hafiyudin | Powered and Hosted By: Blogger.com