Sep 25, 2008

NAJIB KENA BERANI TAPI JANGAN SOMBONG-KADIR JASIN

ANTARA reaksi pelantikan Mohd Najib Abdul Razak sebagai Menteri Kewangan yang saya anggap penting adalah oleh Menteri Kewangan Kedua, Nor Mohamed Yakcop.Utusan Malaysia melaporkan beliau sebagai berkata, pelantikan Mohd Najib diterima baik oleh komuniti pelabur tempatan dan antarabangsa.

Saya berkata begitu kerana umum tahu bahawa Nor Mohamed secara praktiknya adalah Menteri Kewangan walaupun Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi, memegang jawatan itu sejak 2004.

Tidak perlulah kita berpura-pura dan cuba menjaga hati. Seperti Abdullah sendiri pernah mengisytiharkan “beritahu saya apa yang perlu saya dengar bukan apa yang saya suka dengar” jadi kita kena berterus terang.Hakikatnya Abdullah tidak terlatih dalam bidang pengurusan ekonomi dan kewangan.

Begitu jugalah kita tidak boleh berpura-pura dan menjaga hati pembesar politik dengan mengorbankan hak kita sebagai pengundi dan pembayar cukai dengan memberi muka kepada isteri, anak, menantu dan suku sakat menteri.

Ingatlah, kita mengundi pembesar kita sebagai wakil rakyat. Kita tidak mengundi isteri, anak dan menantu mereka melainkan isteri, anak dan menantu mereka juga wakil rakyat.Kadang-kadang yang salah pun kita. Yang kita dok pi layan anak bini menteri macam depa tu Yang Berhormat buat apa?Cukuplah dengan budi bahasa.

Buat apa kita berikan mereka kuasa, layanan protokol dan macam-macam rupa gelaran.Tak hairanlah kalau ada bini, anak dan menantu menteri yang naik tocang – yang mahu layanan permaidani merah dan kerusi tinggi.

Bila kita beri muka, maka adalah yang ambil kesempatan masuk pintu dapur untuk guna isteri, anak dan menantu pembesar itu dengan pelbagai tujuan peribadi.Berbalik kepada pelantikan Mohd Najib, betullah macam kata Nor Mohamed. Mohd Najid memang ada pengalaman mengenai kewangan dan pelaburan sejak menyertai politik pada tahun 1976.Itu saya tahu. Saya kenal Mohd Najib masa dia bekerja dengan Petronas lagi.

Lepas itu (1976) menang tanpa bertanding kerusi Parlimen Pekan.Lepas itu jadi pengerusi Majuternak (dah dibubarkan). Waktu itulah (1977) saya temu ramah beliau buat kali pertama di rumah keluarganya di Jalan Eaton, Kuala Lumpur.

Dia baru berusia 23 tahun dan masih bujang.Tahun 1978 dia dilantik timbalan menteri dan berkhidmat di Kementerian Tenaga, Telekomunikasi dan Pos, Pelajaran dan Kewangan.Pada tahun 1982, Tun Dr Mahathir Mohamad menghantarnya balik ke Pahang untuk bertanding DUN dan dilantik menjadi Menteri Besar.

Maka jadilah dia Menteri Besar termuda – usia tidak sampai 30 tahun.Kalau nak kira pengalaman, memang Mohd Najib mempunyai cukup atau lebih daripada cukup pengalaman dan pengetahuan untuk menguruskan ekonomi dan kewangan negara.

Sekiranya Mohd Najib tidak mampu atau gagal menguruskan ekonomi dan kewangan negara pada saat-saat yang mencemaskan sekarang, saya pun tidak berani hendak kata apa akan terjadi kepada kita semua.Krisis sekarang adalah lebih serius daripada 1997/98 kerana membabitkan Amerika dan sudah pun merebak ke seluruh dunia.

Di Amerika sahaja, kerajaan dan agensinya dianggarkan telah membelanjakan AS$600 bilion (kira-kira MR2,100 bilion) untuk menyelamatkan pelbagai institusi kewangan dan tabung pinjaman daripada menjadi muflis.

Berpuluh-puluh bank di Amerika sama ada sudah muflis atau hidup semata-mata kerana “bailout”. Tetapi apabila kita menyelamatkan bank dan perniagaan kita pada tahun 1997/98 kita diherdik oleh Barat dan IMF.Malah Menteri Kewangan kita ketika itu, Anwar Ibrahim, termakan propaganda IMF dan Wall Street.

Tetapi Dr Mahathir dia gung-ho, dia buat apa yang dia fikir baik untuk negara dan rakyat jelata.Adakah mampu Mohd Najib mengulangi rekod menyelamatkan ekonomi negara yang dicatatkan oleh Dr Mahathir itu?

Bagi saya, bukan mampu atau tidak mampu tetapi wajib kerana krisis sekarang lebih luas dan dalam daripada krisis 1997/98.Tetapi Mohd Najib dan Nor Mohamed berdua sahaja mungkin tidak mampu menangani masalah yang bertimbun dan bertindih ini.Indeks komposit Bursa Malaysia telah jatuh di bawah paras 1,000 mata.

Semua penggiat pasaran dan pengurus saham amanah (unit trust) tahu bahawa kerugian akan mula dirasai sebaik sahaja angka tunjuk bursa jatuh di bawah paras 1,000 mata.Ini belum diambil kira masalah yang sedia ada seperti naik-turun harga komoditi, kenaikan harga petrol, inflasi dan kejatuhan nilai ringgit.

Kini dikhuatiri pula bahawa ekonomi dunia mungkin mengalami “stagflasi” iaitu pertumbuhan ekonomi merosot tetapi inflasi meningkat.Saya yakin Mohd Najib masih ingat bahawa ketika krisis 1997/98 melanda, Dr Mahathir memanggil balik Tun Daim Zainuddin, melantik Nor Mohamed dan Ali Abul Hassan sebagai penasihat, membentuk Majlis Tindakan Ekonomi Negara (NEAC), meningkatkan pelaburan awam, memperkenalkan kawalan terhad tukaran mata wang dan banyak lagi.

Seperti saya tulis berulang kali, kita tidak kekurangan kepakaran, tak kira Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan untuk membantu memperkasa ekonomi dan pentadbiran.Tetapi sejak tahun 2004, nampak seolah-olah dasar Umno dan kerajaan Barisan Nasional adalah menolak sesiapa sahaja yang tidak bersumpah setia kepada mereka atau ada kaitan dengan era sebelumnya.

Kita semua maklum pelbagai dakwaan dan andaian dibuat terhadap Mohd Najib. Itu perkara biasa dalam politik. Sesiapa pun yang akan naik akan diteliti budi pekertinya. Anwar pun kini mengalami tapisan yang serupa.Jadi jika dia berhasrat menjadi pemimpin, dia haruslah lebih berani, terbuka dan menghormati kehendak akar umbi.

Jangan terlalu mengharapkan segala-galanya dipersembahkan di dalam tepak emas.Nasihat yang baik tidak semestinya datang daripada orang yang memuji dan memuja beliau sahaja. Malah orang berterus terang itu mungkin lebih ikhlas dan bernas nasihatnya.

Ramai pembahas blog ini merujuk kepada petingnya Mohd Najib mengumpul dan mengembleng kepakaran yang ada dalam negara untuk sama-sama mencari jalan mengatasi cabaran kelemut ekonomi ini.

Sepanjang mengenai pelantikan beliau sebagai Menteri Kewangan yang penting dan utama bukanlah mengenai ujian kecekapan, proses peralihan kuasa atau kenaikan pangkat, tetapi mengenai perjuangan menyelamatkan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat jelata.
Kalau dia terkorban, itu adalah takdir yang perlu diterimanya kerana perjuangan memerlukan pengorbanan.Akhir kalam, saya memohon izin bertanya adakah Datuk Seri Mohd Najib masih ingat perbualan saya dengannya pada tahun 1977 mengenai perlunya dia berjalan keluar daripada bayang raksasa ayahandanya?

sumber The Scribe A Kadir Jasin

0 comments:

MESTI BACA

SEJARAH PERJUANGAN

PEMERINTAH, ULAMA DAN RAKYAT

Copyright 2010 Suara Pekembar
Newbie Friendly theme By: Ikhsan Hafiyudin | Powered and Hosted By: Blogger.com