Sep 7, 2008

MUKHRIZ SAH TANDING KETUA PEMUDA

ALOR STAR 6 Sept. – Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir hari ini secara rasmi menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada pemilihan Disember ini dan sanggup berhadapan dengan sesiapa sahaja yang mahu merebut jawatan itu.

Katanya, jika berjaya dalam cubaan itu, beliau akan mengelak daripada menerima sebarang jawatan dalam Kabinet kerajaan kerana mahu memberi tumpuan terhadap parti khususnya di kalangan generasi muda.

‘‘Tanggungjawab dipikul cukup besar khususnya kepada orang muda, jadi saya berharap tidak dipilih sebagai menteri,” katanya kepada pemberita selepas membuat pengumuman menawarkan diri secara rasmi bertanding jawatan berkenaan dalam Program Berani Berubah di Pondok Maharizan, Titi Gajah di sini hari ini.

Menurut beliau yang juga Exco pergerakan tersebut, keputusan itu diambil kerana beliau mahu melihat perubahan di dalam UMNO khususnya pergerakan tersebut

sumber Utusan Online


BERANI BERUBAH!
Ringkasan Ucapan Pengumuman YB Dato’ Mukhriz Mahathir pada 6 September 2008, bersamaan 6 Ramadhan 1429 di Pondok Maharizan, Titi Gajah, Alor Setar, Kedah Darul Aman

Krisis Kepimpinan pada hari ini menghilangkan kegemilangan yang telah dibina Kerajaan dan seolah-olah kita kini bermasalah mengurus kejayaan kita sendiri. Saya berpendapat bahawa ini berlaku kerana kita telah tinggalkan perjuangan UMNO yang sebenar, yakni perjuangan Agama, Bangsa dan Negara.

Kita tidak lagi memegang teguh kepada sifat-sifat mulia yang dituntut bagi pemimpin di semua peringkat dan parti politik. Keputusan Pilihanraya Umum ke 12 dan Pilihanraya Kecil Permatang Pauh adalah bukti bahawa rakyat tidak lagi percayakan kita. Malah rakan-rakan parti komponen Barisan Nasional kini mempersoalkan kredibiliti kepimpinan UMNO.

Ini telah membolehkan parti-parti membangkang mengambil kesempatan.Saya sedar ada di kalangan kita yang merasakan diri mereka kerdil dan tidak bertenaga untuk membuat perubahan. Ada di kalangan mereka yang juga percaya bahawa UMNO akan membetulkan dirinya sendiri.

Jika ini menjadi kepercayaan dan sikap ahli UMNO, maka jangan terkejut jikalau hayat UMNO berakhir.Kita harus sanggup membuat perubahan yang mampu mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap UMNO.

Kita mesti membersihkan diri dari sebarang sifat keji dan amanah memegang tanggungjawab terhadap rakyat. Kita juga mesti sanggup berkorban dan menolak semua amalan yang membinasakan.

Kita mesti sanggup berkorban sekali lagi jika kita mahu menyelamatkan UMNO. Saya menyeru semua pihak untuk bersama saya menyelamatkan dan memperkasakan semula UMNO. Bagi tujuan itu, saya bersedia memikul tanggungjawab dan amanah ini.

Saya juga yakin bahawa saya bukan berseorangan dalam perjuangan ini.Demi meneruskan perjuangan ini, saya dengan rendah diri dan dengan nama Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani, menawarkan diri untuk dipilih sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Sekian.
Terima kasih.

0 comments:

MESTI BACA

SEJARAH PERJUANGAN

PEMERINTAH, ULAMA DAN RAKYAT

Copyright 2010 Suara Pekembar
Newbie Friendly theme By: Ikhsan Hafiyudin | Powered and Hosted By: Blogger.com