Sep 26, 2008

KENAPA KITA MESTI BERANI BERUBAH?- MUKHRIZ MAHATHIR

1. Kita akui bahawa pada hari ini UMNO ditempangkan akibat pelbagai kepincangan dan krisis kepimpinannya. Kepincangan-kepincangan ini telah menghakis sokongan orang Melayu khususnya, dan rakyat Malaysia amnya terhadap UMNO.

Malah, keputusan PRU12 dan PRK Permatang Pauh boleh disimpulkan bahawa orang UMNO sendiri menolak calon-calon kita dengan menzahirkan rasa tidak puas hati mereka dengan tidak keluar mengundi, merosakkan undi, atau lebih teruk lagi, mengundi pihak lawan.

2. Apabila saya mengumumkan penawaran diri saya untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, saya telah menggunakan slogan "Berani Berubah!" untuk menyemarakkan semangat pejuang di dalam diri Pemuda yang mahukan perubahan dalam ertikata yang sebenar. Saya mahu mencetus dan melahirkan sebuah generasi kepimpinan di dalam Pergerakan Pemuda UMNO yang peka dan responsif terhadap keperluan akarumbi.

Saya amat berharap dapat melahirkan satu lapisan pemuda yang dinamik serta berdaya maju. Saya akui kenyataan-kenyataan saya sebelum ini adalah antara yang paling lantang apabila berlakunya perkara-perkara yang merugikan parti, atau apabila keputusan-keputusan pucuk kepimpinan tidak menepati citarasa dan aspirasi rakyat.

Contohnya apabila Kerajaan membatalkan pembinaan jambatan antara Johor Bharu dan Singapura, juga terhadap ucapan dasar Presiden parti pada tahun 2006 tidak mengandungi intipati baru untuk kita jadikan panduan, serta terhadap keputusan PRU12 yang secara jelas mencerminkan rasa tidak puashati rakyat terhadap YAB Perdana Menteri, saya akan berkata-kata dengan benar demi kelangsungan UMNO dan rakyat Malaysia.

Namun, setiap kali saya membuat kenyataan sedemikian, saya dianggap sengaja mencetuskan kontroversi. Ada pihak-pihak tertentu yang akan mendesak agar saya dikenakan tindakan disiplin, atau digantung keahlian, malah ada juga yang menggesa supaya saya dipecat dari parti.

3. Tetapi akhirnya, Alhamdulillah, tiada juga sebarang tindakan yang diambil ke atas saya walaupun saya terus bersuara lantang mengkritik pucuk kepimpinan dan keputusan mereka. Ugutan-ugutan bahawa tindakan akan diambil terhadap saya tidak langsung menakutkan saya daripada mengubah prinsip dan meneruskan pendekatan yang saya ambil selama ini. Kenapa?

4. Pada hemat saya, umum mengetahui bahawa apa yang saya perkatakan dan nyatakan tidak langsung melanggari Perlembagaan, peraturan dan/atau tataetika parti. Malah kita sedar bahawa lebih baik jika ada "check and balance" yang mengimbangi pelbagai kepentingan dalam parti bagi menguatkannya.

Jika ada isu-isu semasa yang penting, lebih baik perbahasan berlaku di dalam parti daripada menjadi bahan yang digunakan oleh pembangkang mahupun rakyat untuk menghentam Kerajaan BN. Jika kita ikhlas mengkritik untuk kebaikan, saya percaya pembangkang akan kehilangan modal untuk menarik perhatian dan tidak lagi mampu untuk meraih simpati rakyat.

5. Sesungguhnya kepimpinan parti perlu sentiasa mendapatkan pandangan dari banyak pihak sebelum membuat sebarang keputusan yang melibatkan kepentingan rakyat. Malangnya seringkali kita lihat keputusan-keputusan dibuat seolah-olah tanpa mengambil kira pandangan-pandangan yang mampu membantu mereka membuat pertimbangan yang saksama dan matang.

Contohnya begitu banyak laporan-laporan telah diserahkan kepada pucuk kepimpinan sebelum PRU 12 mengenai peluang kemenangan BN pada pilihanraya tersebut. Rata-rata laporan-laporan tersebut meramalkan situasi yang genting bagi BN, di mana kemungkinan besar lima negeri akan jatuh ke tangan pembangkang.

Salah satu agensi Kerajaan telah melaporkan bahawa BN hanya akan dapat mempertahankan 138 kerusi di Parlimen. Kebetulan dengan keluarnya SAPP dari BN tempohari, laporan-laporan ini nampaknya kini menjadi kenyataan.

Soalnya, kenapa laporan-laporan yang dikeluarkan oleh badan-badan yang bertauliah ini tidak diendahkan, dan sebaliknya laporan-laporan lain yang entah dari mana datangnya digunapakai sebagai sandaran? Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Inilah yang kita lihat terpampang di depan mata kita pada hari ini; UMNO tidak lagi dihormati, BN kehilangan kuasa mutlak, rakyat mempersoalkan integriti pemimpin dan pihak pembangkang meneguk di air keruh.

6. Sudah menjadi kelaziman kita berkeyakinan penuh dan tanpa soal menerima bahawa keputusan-keputusan penting yang dibuat oleh kepimpinan kita adalah berdasarkan kepada matlumat yang sahih, dan strategi yang berkesan. Tetapi dengan timbulnya pelbagai isu yang berkait rapat dengan kepincangan keputusan

Kerajaan sekarang, rakyat sudah merasa gusar dan keyakinan mereka terhadap Kerajaan semakin terhakis. Bagaimana dapat kita mengatasi masalah ini? Sudah tentu caranya ialah dengan meletak pemimpin yang dipercayai dan berkebolehan di jawatan-jawatan tinggi parti dan Kerajaan. Di sinilah terletaknya peranan kita sebagai ahli UMNO di musim pemilihan ini.

7. Dalam keadaan UMNO dan BN menghadapi situasi politik yang seolah-olah telur dihujung tanduk, pemimpin tidak wajar hanya berusaha mengekalkan jawatan sendiri dengan mencadangkan agar jawatan-jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak ditandingi. Walaupun perkara ini pernah diamalkan sebelum ini, keadaannya amat berbeza. Dulu pemilihan UMNO seringkali dijalankan sebelum PRU.

Bagi memastikan UMNO dan BN kuat bagi menghadapi Pilihanraya Umum, maka jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan. Tetapi selepas PRU 12 keahlian UMNO, orang Melayu dan rakyat Malaysia menuntut perubahan. Jika UMNO dan BN tidak berubah sudah tentu perubahan yang dituntut mereka akan dipenuhi oleh pihak pembangkang. Itulah sebabnya UMNO mesti berani berubah.

Sikap tidak peduli dan sambil lewa akan mengundang badai yang jauh lebih teruk dari tsunami politik yang telah melanda kita Mac lepas. Krisis kepimpinan yang UMNO hadapi pada hari ini tidak akan terbaiki dengan sendirinya. Kita sendiri mesti membetulkan di mana yang silap. Jika kita tidak berani untuk merubah, maka tiada perubahan akan berlaku.

Kita mesti berani menolak sebarang usaha untuk menidakkan hak kita untuk memilih pemimpin. Kita mesti berani menguasai keadaan jika ada taktik-taktik untuk menyekat suara akarumbi di dalam Mesyuarat-mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian dilakukan sesetengah pihak.

Kita mesti berani mencalonkan tokoh-tokoh yang berwibawa, yang akan memberi kekuatan kepada parti. Kita mesti berani melawan sebarang usaha untuk mencemarkan proses demokrasi melalui rasuah politik yang menggunakan wang ringgit, ugutan mahupun imbuhan dalam berbagai bentuk. KITA MESTI BERANI BERUBAH!

8. Janganlah kita sekadar batuk ditepi tangga - merungut mengenai keadaan yang tidak menentu tapi tidak lakukan sesuatu untuk memperbaikinya. Sekiranya kita terus takut kepada perubahan, maka percayalah, ahli UMNO yang seramai 3.5 juta akan disingkirkan daripada arus perdana pemerintahan negara apabila rakyat memberi mandat yang lebih besar kepada pembangkang di Pilihanraya Umum ke 13 nanti.

Sesungguhnya, Allah SWT telah berfirman bahawa Ia tidak akan mengubah nasib sesuatu masyarakat itu kecuali masyarakat itu berusaha mengubahkannya. Maka pemilihan inilah satu-satunya peluang yang tinggal bagi ahli-ahli UMNO membawa perubahan yang akan menyelamatkan parti. Saya harap Saudara bersama saya dalam perjuangan ini.


BERANI BERUBAH!
Mukhriz Mahathir
24.09.08

0 comments:

MESTI BACA

SEJARAH PERJUANGAN

PEMERINTAH, ULAMA DAN RAKYAT

Copyright 2010 Suara Pekembar
Newbie Friendly theme By: Ikhsan Hafiyudin | Powered and Hosted By: Blogger.com