Aug 31, 2008

UMNO BUKAN PARTI RASIS

KOTA BHARU 30 Ogos - UMNO bukan sebuah parti rasis seperti yang didakwa pihak tertentu biarpun ia memperjuangkan nasib kaum Melayu, kata Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Sebaliknya menurut beliau, orang Melayu yang terkenal dengan sifat toleran dan sangat terbuka telah banyak mengalah untuk menjaga hati kaum lain sejak dulu lagi.
''Perkataan rasis tidak sama dengan perkauman, semua bangsa ada perasaan bangga bangsa, cintakan kaum masing-masing.

''Tetapi apabila perasaan atau kesedaran bangsa ini melampau sehingga sampai ke tahap membenci bangsa lain dan menganggap bangsanya sebagai eksklusif dan istimewa seperti Yahudi, maka inilah yang dinamakan rasis," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Forum Sambutan Merdeka - Pelaksanaan Undang-Undang Fasal 152 dan 153 anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) di sini hari ini. Turut hadir, Presiden MTRK, Datuk Ibrahim Ali.

Forum dipengerusikan oleh penganalisis politik, Prof. Dr. Mohamad Agus Yusof dan disertai tiga ahli panel iaitu Penasihat Undang-Undang Majlis Muafakat Melayu Malaysia, Tan Sri Abd. Aziz Abd Rahman; Peguam, Zainur Zakaria dan Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof. Dr. Abd Aziz Bari.

Tengku Razaleigh yang juga Penaung MTRK berpendapat, tindakan pihak tertentu mempertikaikan perlembagaan yang menjamin hak dan peluang Melayu bukan kerana salah kontrak sosial dan dasar-dasar kebangsaan tetapi disebabkan tiga faktor.

"Pihak yang membangkitkan isu itu boleh jadi lebih memikirkan tentang kaum masing-masing sahaja atau cuba menggunakan 'model' orang lain atau mereka tidak cukup memahami sejarah dan tujuan asal 'kontrak' itu yang sebenarnya.

"Kedua, sejak akhir-akhir ini wujud keadaan yang menyebabkan pihak-pihak berkenaan terdorong dan berasa bebas untuk mempersoalkan kontrak itu, mereka melihat seolah-olah UMNO atau kerajaan mengamalkan dasar perkauman pada hal dasar perkauman itu tidak ada dalam perlembagaan UMNO," katanya.

Katanya, faktor terakhir ialah kerana tidak adanya ketegasan dan pendirian yang jelas daripada kerajaan sendiri untuk menolak debat yang bersifat perkauman dan terus mempertahankan perlembagaan serta dasar-dasar kebangsaan yang baik, adil dan saksama untuk semua rakyat tanpa mengira kaum.

''Selain itu, orang Melayu sendiri terutama kalangan cerdik pandai dalam UMNO tidak mampu bersuara secara cerdik, intelektual untuk menyanggah segala tuduhan itu berdasarkan kebenaran yang dapat dilihat dan difahami secara rasional," ujarnya.

Beliau menegaskan, kaum lain di negara ini sememangnya perlu memahami sejarah dan senario yang berlaku sekarang sebelum membuat tuntutan serta tuduhan melulu terhadap UMNO atau kerajaan dan menyalahkan perlembagaan negara.

Katanya, Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang selaras dengan kehendak perlembagaan adalah untuk membela nasib masyarakat peribumi yang 'miskin' dalam pelbagai bidang, namun sejak 51 tahun, ia tidak tercapai sepenuhnya.

"Di institusi pengajian tinggi awam, nisbah antara pelajar bumiputera dan bukan bumiputera ialah 55: 45 peratus pada hal orang Melayu penduduk majoriti di negara ini manakala di institusi pengajian swasta, tidak lebih 30 peratus sahaja.

"Jadi, kalau orang bukan Melayu memahami keadaan ini dan bersikap bertolak-ansur sedikit, mereka tidak patut menuduh dasar pelajaran itu sebagai rasis.

"Kalau Melayu rasis, mereka mungkin menentang penubuhan Universiti Tunku Abdul Rahman yang boleh dianggap sebagai universiti Cina dan Melayu juga boleh mendesak supaya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina ditutup, tetapi mereka tidak berbuat demikian," katanya.
UMNO PERLU BERSIHKAN IMEJ
UMNO perlu melakukan proses pembersihan diri bagi memulihkan kewibawaan moralnya supaya dapat diterima dan dipercayai semula oleh rakyat.

Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, langkah itu bagi mengembalikan imejnya sebagai sebuah parti kebangsaan yang berjuang untuk rakyat merentasi sempadan kaum tanpa memusnahkan akar Melayunya.

Beliau menegaskan, kaum bukan Melayu ada menyatakan bahawa mereka lebih menyukai Melayu terus menjadi ‘pemandu’ negara kerana menaruh kepercayaan terhadap kebolehan dan sifat keterbukaan bangsa itu membawa negara ke arah kebaikan semua kaum.

“Cuma sejak akhir-akhir ini mereka berkata Melayu telah menjadi seorang ‘pemandu yang buruk dan cuai’ dan ini merisaukan mereka.

“Saya bersetuju dengan pandangan bukan Melayu ini. Orang Melayu makin lama makin kehilangan pedoman dan perspektif Melayu-Islamnya yang syumul sifatnya untuk memerintah dengan jujur, berani kerana benar, bersih, adil dan amanah kerana takutkan Allah,” katanya.

SUMBER Utusan Online

0 comments:

MESTI BACA

SEJARAH PERJUANGAN

PEMERINTAH, ULAMA DAN RAKYAT

Copyright 2010 Suara Pekembar
Newbie Friendly theme By: Ikhsan Hafiyudin | Powered and Hosted By: Blogger.com