Aug 30, 2008

CABARAN BAGI PEMUDA UMNO

Oleh Wan Mohd Hafiz Wan Hamzah

Pilihanraya umum ke 12 kali ini sedikit sebanyak turut menjejaskan kredibiliti pergerakan Pemuda UMNO yang dilihat sebagai sayap kanan bagi pertubuhan UMNO.

Jelas, kelemahan Pemuda UMNO dalam menerangkan beberapa isu yang timbul kepada rakyat secara menyeluruh, termasuklah tidak mendesak pemimpin-pemimpin peringkat tertinggi di dalam UMNO yang mentadbir kerajaan untuk menjelaskan tentang isu-isu yang timbul secara lebih terbuka.

Perkara ini menjadi salah satu faktor penyumbang yang menyebabkan undi rakyat, termasuk orang Melayu sendiri beralih kepada pembangkang.

Kini, PRU12 telah pun berlalu dan mencipta sejarah. Sejarah manis bagi pembangkang, dan tetapi ia adalah sejarah hitam bagi UMNO dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional seperti MCA, MIC dan Gerakan.

Kehilangan lima buah negeri kepada pembangkang, bukanlah satu perkara yang boleh dipandang enteng oleh BN terutama UMNO sebagai tulang belakang dalam pakatan BN. Dalam hal ini, peranan pemuda UMNO sebagai sayap kanan parti juga tidak boleh diketepikan.

Kali ini, Pemuda UMNO juga akan menghadapi cabaran yang besar, dalam usaha untuk mengembalikan keyakinan rakyat, terutama kepada bangsa Melayu terhadap keikhlasan perjuangan dalam membela Islam, bangsa Melayu dan negara.

Justeru itu, ahli-ahli Pemuda UMNO perlu memberi perhatian kepada perkara pokok yang menjadi asas kepada maju atau mundurnya sesebuah pergerakan, iaitu pemilihan calon bagi melantik pemimpin untuk menerajui pergerakan ini.

Pemuda UMNO kali ini perlu lebih tegas dan berpegang pada prinsip nilai-nilai murni dan jati diri, dalam proses pemilihan calon pemimpin untuk menerajui pergerakan Pemuda UMNO akan datang pada semua peringkat, sehinggalah ke akar umbi.

Ini amat penting kerana melalui proses inilah, masa hadapan pergerakan Pemuda UMNO dan UMNO khususnya, akan dapat ditentukan. Proses ini juga boleh dianggap sebagai satu misi dalam melahirkan generasi kepimpinan pemuda UMNO pada masa yang akan datang. Pemilihan perlu dilakukan dengan bijak dan matang.

Apabila menyebut tentang pemimpin dan kepimpinan, penulis ingin memetik kata-kata Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam salah satu ucapannya yang dimuatkan dalam sebuah buku yang berbunyi :

“Semua pemimpin adalah sementara. Mereka akan pergi dan akan diganti oleh pemimpin yang baru. Tetapi pemimpin dan kepimpinan adalah penting bagi sesebuah pertubuhan. Sementara pemimpin juga tidak perlu dipertahankan, semata-mata kerana dia seorang pemimpin, dan dia juga tidak boleh dilemahkan secara sengaja”

Jelas di sini, beliau menyeru agar ahli-ahli UMNO, terutama Pemuda UMNO agar tidak mempertahankan mana-mana pemimpin yang dilihat lemah atau berkepentingan sendiri, semata-mata kerana dia telah dilantik menjadi pemimpin.

Tetapi, ahli-ahli UMNO juga tidak boleh dengan sengaja dan bertindak khianat untuk menjatuhkan pemimpin yang benar-benar berwibawa, semata-mata kerana nafsu dan kepentingan individu atau sekelompok orang-orang tertentu sahaja.

Islam juga telah menggariskan bahawa sekurang-kurangnya pemilihan calon itu perlu berdasarkan beberapa perkara dan adalah baik sekiranya seseorang calon pemimpin itu dipilih berdasarkan empat sifat yang diutamakan iaitu Amanah, Siddiq, Tabligh dan Fatanah.

Ini perlu ditanamkan di dalam setiap diri ahli pemuda UMNO yang terlibat aktif dalam pergerakan ini. Pemuda UMNO perlu gah dengan maruah diri dan prinsip yang tidak boleh dijual beli.

Warisan perjuangan Pemuda UMNO, bukanlah sekadar warisan perjuangan picisan untuk poket sendiri. Tetapi ia adalah satu perjuangan suci untuk memastikan survival bangsa Melayu terus segar dan kehadapan, sekaligus menjadi pelapis kepimpinan bagi memelihara ketuanan Melayu di negara ini.

Berpegang pada prinsip dalam pemilihan calon ini perlu dipandang serius dan mesti difahami, apatah lagi memandangkan wabak mencari pengaruh politik melalui wang ringgit semakin menular, dan virusnya kini sudah mula menjalar sehingga ke peringkat Pemuda UMNO cawangan.

Sindrom ini amat berbahaya dan jika dibiarkan, ia akan menghancurkan jati diri serta membuatkan pemuda Melayu yang bernaung di bawah gerakan ini berjuang tanpa keikhlasan dan tanpa jati diri.

Akhirnya, grassroot menjadi lemah akibat boleh dijual beli dengan wang ringgit. Lama kelamaan, faktor ini boleh menjadi penyebab hancurnya prinsip perjuangan membela ketuanan Melayu dan tanahair, dan boleh menjuruskan pergerakan ini mengalami krisis dalaman dan seterusnya kehancuran UMNO itu sendiri.

Pemuda UMNO juga perlu lebih peka dan berhati-hati dalam menghadapi cabaran politik dalam dunia yang semakin moden dan berteknologi , serta lebih matang dalam menangani sesuatu isu yang timbul. Ini terutama melibatkan isu-isu sensitif antara kaum dan fitnah-fitnah dari pembangkang. Ketegasan itu amat perlu tetapi kematangan haruslah menjadi pengimbang dalam sebarang tindakan yang diambil.

Tranformasi perlu dilakukan dari segala sudut termasuklah kesedaran dan jati diri. Politik tidak lagi boleh dianggap sebagai satu karier kerana jika politik dianggap sebagai karier, ia bakal mewujudkan suasana politik yang menjurus kepada kepentingan sendiri, sanggup berpura-pura dan sanggup berbuat apa sahaja untuk mempertahankan ‘karier’ atau sumber pendapatan mereka.

Ahli Pemuda UMNO generasi hari ini perlu sedar bahawa beban untuk memikul tanggungjawab dan amanah besar yang diperturunkan oleh pejuang-pejuang Melayu terdahulu, bagi memelihara Islam, bangsa Melayu dan tanah air terbeban di bahu mereka.

Satu lagi pesanan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam perhimpunan Agong Pergerakan Pemuda UMNO dan Wanita pada tahun 25 Jun 1981 di Dewan Bahasa dan Pustaka berbunyi :

Kebaikan mesti diperjuangkan kerana maju mundurnya agama Islam, bangsa Melayu dan negara Malaysia bergantung kepada amalan nilai-nilai murni. Apabila orang Melayu menjadi sombong dan bongkak kerana kuasa yang ada di tangan mereka, apabila orang Melayu tidak lagi menuntut ilmu kerana menganggap kuasa boleh menguasai ilmu yang ada pada orang lain, apabila orang Melayu tidak lagi mahu bekerja dan memikul senjata untuk mempertahankan diri, maka alamatnya orang Melayu sudah separuh jalan ke arah kemusnahan. Titik-titik penyemaian nilai buruk ini di kalangan orang Melayu sudah pun dapat dilihat. Apakah Pemuda UMNO dan wanita akan terus mencari populariti sahaja atau akan berani menghadapi cabaran dan kecaman kerana mahu menyeru kepada kebaikan untuk agama, bangsa dan tanahair?

Jadi, apakah pada hari ini, nilai-nilai buruk yang disebut oleh mantan Perdana Menteri itu sudah berjaya dihapuskan baik dalam perjuangan Pemuda UMNO mahupun dalam masyarakat bangsa Melayu? Tepuk dada, tanya selera, dan hakikat sebenarnya, perjuangan Pemuda UMNO masih lagi belum selesai.

0 comments:

MESTI BACA

SEJARAH PERJUANGAN

PEMERINTAH, ULAMA DAN RAKYAT

Copyright 2010 Suara Pekembar
Newbie Friendly theme By: Ikhsan Hafiyudin | Powered and Hosted By: Blogger.com