KUALA LUMPUR, 9 April – Tindakan pembangkang yang tidak mahu membahaskan mahupun menerima cadangan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya membuktikan bahawa segala tuntutan mereka terhadap penambaikan tersebut hanyalah sebagai satu muslihat politik demi untuk meraih undi rakyat.
Apa yang pasti, pihak pembangkanglah yang pada peringkat awalnya mengusulkan penubuhan PSC, namun apabila cadangan tersebut di bawa masuk ke Parlimen untuk dibincangkan, pihak pembangkang secara tiba-tiba menolak dan membuat pelbagai helah dan dalih.
Dewan Rakyat bagaimanapun telah meluluskan kesemua 22 syor yang dikemukakan PSC tanpa dibahaskan selepas pihak pembangkang membuat kecoh dan menolak untuk memperbahaskan cadangan tersebut atas alasan penolakan Penyata Minoriti oleh Speaker Dewan Rakyat.
Tujuh daripada lapan perkara yang dituntut oleh Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) dimasukkan dalam 22 syor yang dikemukakan PSC ke Dewan Rakyat baru-baru ini.
Berdasarkan kenyataan Pengerusi PSC Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili bahawa 82 peratus daripada 22 syor penambahbaikan yang diputuskan sebelum ini dipersetujui bersama oleh wakil mereka dalam jawatankuasa itu tanpa sebarang masalah, jelas pembangkang tidak ikhlas dan suka ambil kesempatan di Parlimen.
Namun, setelah cadangan PSC yang telah dipersetujui di bentang di Parlimen, secara tiba-tiba pihak pembangkang membuat kecoh dan menolak untuk membahaskan cadangan tersebut.
Jelas ini adalah sebahagian dari tektik pembangkang dalam menghalalkan perhimpunan bersih 3.0 apabila dengan sengaja menimbulkan rasa tidak puas hati apabila jawatankuasa PSC membentangkan cadangan tersebut di Parlimen baru-baru ini.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Ir. Muhammad Bushro Mat Johor ketika dihubungi hari ini, beliau menegaskan bahawa pembangkang menjadikan isu ini sebagai satu muslihat untuk meneruskan agenda Bersih 3.0.
Tegas beliau pihak pembangkang akan mengatakan bahawa Bersih 3.0 mesti diteruskan lantaran tuntutan untuk penambaikan itu tidak diterima oleh kerajaan BN. Namun, sudah pastinya, ini adalah sikap pembangkang yang tidak akan bersetuju dengan apa jua perkara atau perubahan yang dilakukan oleh kerajaan.
“Jelas isu penambaikan terhadap SPR ini hanyalah semata-mata agenda politik pembangkang sahaja. Tidak kira samada kerajaan buat perubahan atau tidak, mereka tetap tidak akan setuju dan sekiranya kerajaan melakukan perubahan tersebut, mereka tetap akan cuba cari pasal dengan mencari isu-isu remeh untuk dibangkitkan seperti yang kita lihat hari ini.
“Apatah lagi, sekarang ini pembangkang sedang sibuk mempromosi perhimpunan Bersih 3.0 yang akan diadakan tidak lama lagi. Jadi, inilah kesempatan terbaik buat mereka untuk membuktikan kepada rakyat konon-kononnya kerajaan BN tidak memenuhi tuntutan mereka dalam Bersih 2.0 dulu, dan seterusnya menjadi satu dalil buat mereka untuk menghalalkan perhimpunan Bersih yang akan datang nanti,” tegasnya.
Tambahnya lagi, hari ini rakyat perlu lebih berhati-hati, teliti dan bersikap bijak dalam membaca strategi politik pihak pembangkang yang sengaja mencipta isu, semata-mata untuk kepentingan politik mereka.
Dan lebih jahat lagi kata beliau mereka berselindung dengan slogan dan kata-kata retorik yang kononnya mahukan sistem pilihanraya yang telus dan adil untuk mempengaruhi pemikiran rakyat.
“Kalau kita lihat hari ini, apa juga yang dilakukan oleh kerajaan tetap dianggap salah oleh mereka. Tidak ada apa yang dilakukan oleh kerajaan yang dianggap baik oleh pihak pembangkang. Pasti ada saja perkara yang nak dibangkangkan.
“Malah, kalau mereka melakukan kesilapan sekali pun, pihak pembangkang sedaya upaya untuk menafikan kesalahan mereka itu sebaliknya cuba mengalihkan kesalahan yang mereka lakukan itu kepada UMNO dan BN, seolah-olah UMNO dan BN yang menjadi punca terhadap salah silap yang dilakukan oleh mereka selama ini,” jelasnya lagi. -MediaUMNO
0 comments:
Post a Comment