Apr 26, 2012

Rakyat Jangan Terkeliru, Sertai Demonstrasi Adalah Berdosa Besar – Dr. Fadlan


KUALA LUMPUR, 26 April – Umat Islam diseru agar tidak terpengaruh mengikuti fatwa Pas yang mewajibkan para pengikutnya serta orang awam untuk menyertai demonstrasi bersih Sabtu kerana demonstrasi sebegitu dilarang oleh Islam.
Bahkan, umat Islam yang menyokong dan terlibat dengan demonstrasi tersebut berdosa besar kerana demonstrasi itu lebih menjurus kepada kezaliman terhadap hak-hak orang awam dan peniaga di kawasan terbabit.
Menurut Pengerusi Sekretariat Ulama Muda (ILMU), Dr. Fadlan Othman, fatwa Mursyidul Am Pas yang mengatakan wajib untuk menyertai demo tersebut datangnya daripada salah faham dalam memahami maksud dan definasi demonstrasi itu sendiri.
“Saya pelik apabila seseorang seperti Datuk Nik Aziz yang bertaraf seorang guru agama cuba menghalalkan demonstrasi dengan membawa dalil bahawa solat dan haji juga merupakan satu bentuk demonstrasi.
“Saya nak jelaskan di sini, bahawa solat dan haji itu bukanlah sesuatu yang boleh dianggap sebagai satu demonstrasi seperti yang dikatakan oleh Mursyidul Am Pas itu. Solat dan haji bukanlah termasuk di dalam kategori demonstrasi  tetapi ia adalah satu ibadah. Dua perkara ini amat-amat berbeza,” jelas beliau kepada UMNO Online di sini hari ini.
Tambahnya lagi, solat dan haji, termasuk apa saja ibadah yang diperintahkan oleh Allah swt merupakan satu bentuk cara pengabdian kepada Allah swt dan ia tidak boleh dipanggil demonstrasi.
“Demonstrasi yang kita fahami sekarang ini ialah satu perbuatan tunjuk perasaan. Mana boleh disamakan dengan ibadah seperti solat dan haji. Tak kena dalil yang dibawa oleh Mursyidul Am Pas itu untuk menghalalkan demonstrasi Bersih ini. Saya pun tak sangka, macam mana seorang tuan guru agama boleh mengeluarkan kenyataan tersebut,” tegasnya.
Tambahnya lagi, tidak ada ajaran dari Nabi Muhammad s.a.w . umat Islam mesti atau perlu melakukan demonstrasi jalanan seperti ini untuk menegur pemimpin.
“Ia bukan sunnah dan merupakan satu perbuatan yang berlandaskan atas agenda politik semata-mata. Ulama-ulama ahli sunnah wal jamaah telah membuat garis panduan bagaimana untuk menegur pemerintah berdasar dalil quran dan sunnah. Tidak ada seorang ulama pun yang menghalalkan atau mengatakan bahawa mengadakan demonstrasi jalanan merupakan salah satu cara untuk menegur pemerintah,” tegas beliau.
Jelasnya lagi, cara yang telah digariskan oleh ulama untuk menegur pemerintah ialah apabila kita bertemu secara berhadapan dengan pemerintah tersebut.
“Bukanlah caranya untuk menegur pemerintah dengan terjerit-jerit di khalayak ramai apatah lagi sekiranya menggunakan kata-kata kesat atau mencarut. Contoh paling baik yang Allah swt berikan di dalam Al Quran ialah cerita bagaimana Nabi Musa a.s. sendiri diperintahkan oleh Allah swt untuk bercakap dengan lemah lembut ketika menasihati Firaun, sedangkan Firaun itu melakukan dosa yang paling tinggi martabatnya iaitu syirik dan mengaku Tuhan.
“Sekiranya dengan Firaun, manusia yang melakukan dosa paling besar itu pun Allah perintahkan untuk bercakap dengan lemah lembut, apatah lagi apabila kita ingin menegur pemimpin-pemimpin yang masih dalam lindungan syahadah dan masih bersolat,” ujarnya lagi.
Apatah lagi tegasnya, demonstrasi Bersih ini pula dikepalai oleh seorang wanita bukan Islam, malah merupakan penyokong kuat hak-hak kebebasan beragama dan hak kebebasan seks yang dipanggil seksualiti merdeka.
“Perlu saya ingatkan di sini, umat Islam yang menyokong dan  terlibat dalam gejala Lesbian, Biseksual, Gay dan Transgender ini telah melakukan satu dosa besar. Ini termasuklah  menyokong pemimpin, atau mengikuti telunjuk pemimpin yang menyokong LBGT ini juga telah melakukan dosa besar. Dan sekiranya ada umat Islam yang menghalalkan LBGT ini pula,  ternyata tindakannya itu menyebabkan ia termasuk dalam kategori orang-orang kufur,” tegasnya.
Dalam hal ini katanya lagi, umat Islam sepatutnya bantu membantu dalam membuat sesuatu perkara yang makruf dan Allah melarang umat Islam untuk tolong menolong dalam hal-hal kebatilan, mungkar dan maksiat.
“Dalam surah al Maidah ayat lima, Allah telah menegaskan maksud ayat yang berbunyi, Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa maksiat dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya bagi sesiapa yang melanggar perintahNya.”
“Jadi, ayat ini jelas, sebagai satu peringatan bahawa umat Islam dilarang menyertai dan tolong menolong dengan orang-orang yang ingin melaksanakan dan menyokong sesuatu yang mungkar dan zalim, sepertimana demonstrasi bersih ini yang terang-terang hanya bermotifkan politik dan berketuakan pula seorang non muslim yang menyokong perkara mungkar dan maksiat seperti LBGT dan seksualiti merdeka di negara ini,” ujarnya lagi. -MediaUMNO

0 comments:

MESTI BACA

SEJARAH PERJUANGAN

PEMERINTAH, ULAMA DAN RAKYAT

Copyright 2010 Suara Pekembar
Newbie Friendly theme By: Ikhsan Hafiyudin | Powered and Hosted By: Blogger.com