Dec 11, 2008

PENJELASAN MENGENAI GAGASAN PEMUDA EHSAN




Assalamualaikum,

Di sini, saya ingin memberi sedikit penjelasan  mengenai pembentukan Gagasan Pemuda Ehsan atau GPE, yang telah dilancarkan oleh YB Dato Ir Mohd Bushro Mat Johor kepada semua ahli Pemuda UMNO Cawangan Taman Ehsan, dan juga kepada semua ahli cawangan.

Ini memandangkan, ada beberapa persoalan mahupun kritikan tentang matlamat, dan fungsi gagasan yang telah diajukan, samada secara bertanya terus kepada saya, mahupun menggunakan orang tengah untuk menyampaikan soalan@kritikan itu kepada saya.

Ada diantara ahli pemuda UMNO dan bukan ahli, yang memberitahu saya bahawa mereka tidak jelas dengan matlamat Gagasan. Ada juga yang menyampaikan pesan kepada saya, agar jangan lupa kepada program-program untuk ahli-ahli Pemuda dan masyarakat di sekitar Taman Ehsan. 

Malah, ada juga yang mengatakan, saya kini telah mula lupa untuk menumpukan perhatian saya pada Pemuda UMNO dan masyarakat Taman Ehsan, sebaliknya sedang khayal dilambung ombak populariti yang menyebabkan saya lebih menumpukan perhatian saya terhadap Gagasan Pemuda Ehsan kerana telah dilantik sebagai pengerusi.

Saya terbuka dalam menerima sebarang soalan atau kritikan. Mungkin saya juga silap kerana lambat untuk memberi penjelasan kepada ahli Pemuda UMNO mahupun masyarakat setempat tentang Gagasan ini.

Jadi, oleh kerana saya tidak mampu untuk menjelaskannya kepada setiap ahli Pemuda UMNO dan masyarakat secara berdepan satu persatu, maka saya menggunakan blog ini sebagai pengantara untuk memberi penjelasan terhadap beberapa persoalan dan kritikan seperti yang saya sebut di atas.

Sebenarnya, Gagasan Pemuda Ehsan adalah satu inisiatif bagi menggabungkan setiap ahli Pemuda Cawangan di sekitar Taman Ehsan dan Desa Jaya. Perkara ini timbul, atas perbincangan sesama KP UMNO di sekitar kawasan ini yang seringkali bertemu di kedai-kedai kopi di sekitar kawasan ini.

Perkara ini akhirnya dipersetujui setelah ditimbang-timbang baik buruknya. Apatah lagi, kebanyakkan dari ahli Pemuda, mahupun Ketua Pemuda, saling kenal mengenali, serta mempunyai hubungan yang baik sesama sendiri.

Antara ideanya ialah, di mana sebagai contoh, salah satu daripada cawangan misalnya Pemuda UMNO Taman Ehsan yang berada di dalam gagasan ini merancang untuk membuat satu program,  maka cawangan-cawangan yang lain turut terlibat dalam usaha untuk membantu menjayakan program yang dicadangkan. 

Begitu juga sebaliknya. Sekiranya ada cawangan Pemuda yang lain merencanakan program untuk kebaikan bersama, maka ahli Pemuda UMNO Taman Ehsan, perlulah membantu. Bantu-membantu dan tolong menolong sesama kita bukanlah satu perbuatan yang negatif dan membawa kehancuran. Ia adalah satu perkara yang sihat dan memberi banyak faedah kepada kita.

Maka muncullah idea untuk menubuhkan Gagasan ini, sebagai satu simbol perpaduan Pemuda UMNO di sekitar Taman Ehsan dan Desa Jaya. Bagi saya secara peribadi, ini adalah satu sejarah kecil bagi pergerakan Pemuda UMNO Taman Ehsan dan Desa Jaya, kerana saya dimaklumkan, ini adalah kali pertama Ketua Pemuda, dan ahli-ahli Cawangan di sekitar Taman Ehsan dan Desa Jaya bergabung dalam satu permuafakatan untuk menjalankan sebarang aktiviti dan program untuk masyarakat.

Sekiranya kita bersatu, kita akan dapat bermacam-macam faedah dan kebaikan darinya. Perpaduan itu adalah punca kekuatan. Perpaduan juga mengeratkan silaturrahim dan tolong menolong sesama kita. Dengan perpaduan ini juga, kita dapat mengenal ahli-ahli Pemuda cawangan yang berjiran dengan kita, dan boleh bertukar-tukar maklumat serta peluang-peluang lain.

Di dalam UMNO, hari ini kita perlu berubah. Dan kita mesti berani untuk berubah. Kita mesti tinggalkan budaya asyobiyah, yang hanya mementingkan kelompok-kelompok kita sahaja dan tidak mempedulikan kelompok yang lain, yang ada disekitar dan berhampiran dengan kita, padahal kita memakai satu logo yang sama serta memegang satu dasar perjuangan sama. Apatah lagi kita satu agama dan satu bangsa.

Malah, ahli-ahli Pemuda UMNO di sekitar Taman Ehsan, Bukit Desa, Usaha Jaya, Desa Jaya, adalah diantara rakan-rakan yang sudah kita kenali sejak sekian lama. Jadi jelas, bahawa Gagasan Pemuda Ehsan ini bukanlah satu 'benda' baru yang berasingan, sebaliknya ia adalah simbol kepada perpaduan lebih dari 10 cawangan di sekitar Taman Ehsan dan Desa Jaya.

Setiap program yang dijalankan, akan melibat setiap cawangan dan ini bermakna, setiap cawangan di sekitar Taman Ehsan atau Desa Jaya, mahupun cawangan yang kekurangan ahli, turut boleh merancang dan menjayakan apa-apa program dengan bantuan rakan-rakan Pemuda UMNO Cawangan yang lain.

Saya berharap, setiap ahli Pemuda UMNO Cawangan Taman Ehsan, dapat memahami matlamat wujudnya Gagasan Pemuda Ehsan dari apa yang saya terangkan secara serba ringkas itu. Jadi, tidak timbul persoalan bahawa saya melalaikan ahli Pemuda UMNO dan masyarakat Taman Ehsan, kerana pembentukan Gagasan itu adalah demi kepentingan dan faedah kepada setiap ahli Pemuda, Cawangan dan masyarakat di Taman Ehsan itu sendiri.

Kepada mana-mana ahli Pemuda yang mahu mengikuti perkembangan aktiviti-aktiviti rakan Pemuda UMNO Cawangan di sekitar Taman Ehsan dan Desa Jaya, boleh lawati blog di alamat http://gagasan-pemuda.blogspot.com.

-Hafiz Hamzah-

0 comments:

MESTI BACA

SEJARAH PERJUANGAN

PEMERINTAH, ULAMA DAN RAKYAT

Copyright 2010 Suara Pekembar
Newbie Friendly theme By: Ikhsan Hafiyudin | Powered and Hosted By: Blogger.com