Sep 26, 2008

OIC MINTA MALAYSIA PULIHKAN IMEJ ISLAM

NEW YORK 25 Sept. – Malaysia diberi tanggungjawab oleh Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) untuk membetulkan perspektif terhadap Islam yang sering dikaitkan dengan keganasan hingga mencetuskan rasa takut dan prejudis di kalangan masyarakat antarabangsa.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, perkara itu telah dinyatakan oleh Setiausaha Agung OIC, Ekmeleddin Ihsanoglu pada pertemuan mereka di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, di sini hari ini.

Katanya, OIC mahu Malaysia terlibat dalam usaha membersihkan imej Islam kerana ia mempunyai rekod dan hubungan yang baik di arena antarabangsa.

“Perspektif terhadap Islam kena diperbetulkan. Sebagai negara anggota OIC Malaysia bertanggungjawab untuk membetulkan perkara ini.

“Kita kena berikan gambaran yang sebenar tentang Islam,” katanya pada sidang akhbar di sini.
Sehubungan itu katanya, satu forum mengenai Islam dirancang dianjurkan di Amerika Syarikat (AS) yang membabitkan kerajaan Malaysia dan negara-negara anggota OIC serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dari situ katanya, ia akan dijadikan platform untuk menjelaskan Islam yang sebenar dan menepis segala tanggapan buruk termasuk ketakutan terhadap Islam atau Islamophobia.
Katanya, beliau akan maklumkan perkara itu kepada Kabinet bagi membolehkan perancangan dibuat.

Menurut Rais, AS dipilih kerana di negara ini terdapat pelbagai polemik tentang Islam yang perlu diperbetulkan.

Katanya, kaitan Islam dengan peristiwa serangan ke atas menara berkembar Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada 11 September 2001 perlu dibetulkan.

“Kita mahu membuka jendela baru agar fahaman terhadap Islam lebih sejagat dan membantu kepada usaha berkaitan ketamadunan,” katanya.

Pada masa yang sama beliau memberitahu, hari ini Malaysia telah mendepositkan suratcara ratifikasi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pencegahan Rasuah (UNCAC).


sumber Utusan Online

p/s : Dakwah Dato..dakwah. Penerangan tentang ajaran Islam dan konsep kehidupan yang dibawa oleh Islam perlu diterangkan kepada semua bangsa dan kaum tidak mengira agama. Di sebabkan dakwah tak jalan, penganut agama lain pandang serong terhadap Islam, terutama di barat. Di sebabkan dakwah tak jalan juga, orang Islam tak tahu, apa sebenarnya ajaran Islam.

Dakwah pula, ada macam-macam strategi. Selagi tidak berlanggar prinsip al Quran dan Sunnah, selagi menyeru benda-benda yang baik, itu dikira dakwah juga. Jangan sempitkan dan kunokan skop dakwah itu...

sekadar memberi pandangan...

0 comments:

MESTI BACA

SEJARAH PERJUANGAN

PEMERINTAH, ULAMA DAN RAKYAT

Copyright 2010 Suara Pekembar
Newbie Friendly theme By: Ikhsan Hafiyudin | Powered and Hosted By: Blogger.com