Tanggal 8 Mac 2008, berlaku satu sejarah hitam, kepada UMNO dan Barisan Nasional, tetapi satu kemenangan yang amat manis kepada Pakatan pembangkang. Sejak dari tahun 1969, tahun tercetusnya peristiwa berdarah 13 Mei, dan semenjak itulah BN terus menerajui negara dengan tanpa dapat diganggu gugat pembangkang.
Hakikatnya, dalam PRU12 baru-baru ini, BN secara rasminya hilang kuasa di empat buah negeri iaitu Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Jadi, termasuk Kelantan yang pada mulanya nampak seperti sudah hampir-hampir dapat ditawan oleh BN, secara keseluruhannya, BN telah kehilangan kuasa di lima buah negeri dan satu WP, hampir-hampir separuh dari negeri di Semenanjung tanahair!
Kemenangan yang berpihak kepada pembangkang ini bukanlah seratus peratus di sebabkan oleh kekuatan pembangkang, tetapi ia sebenarnya berpunca daripada kelemahan parti pemerintah yang dilihat gagal dalam menjelaskan beberapa isu.
Isu-isu yang tidak terjawab, yang mengelilingi benak dan perbincangan rakyat sejak empat tahun kebelakangan ini, ditambah lagi dengan isu-isu hangat seperti pergeseran terbuka antara mantan perdana menteri dan Perdana Menteri menyebabkan rakyat bertambah yakin, bahawa sememangnya pemerintahan BN kali ini ada masalah.Sekarang ini, perkara yang paling kerap ditanya, adalah apa mesej rakyat kepada BN?
Sebenarnya, soalan itu tidak perlu ditanya, kerana BN sendiri tahu kerana apa rakyat memberikan mesej itu.Kita tidak mahu membincangkan soal atau masalah dalaman parti lain. Apa yang perlu dibincangkan dan ditekankan ialah, soal UMNO sebagai parti warisan sejarah orang-orang Melayu.
Dalam hal ini, saya berpendapat, Ahli-ahli UMNO perlu mempunyai prinsip terutama dalam hal-hal memilih seseorang individu itu untuk dijadikan pemimpin.Hal ini mesti difahami, dan ditelusi kerana proses pemilihan ketualah menjadi penentu utama kepimpinan sesebuah pertubuhan. Kemajuan dan kemunduran sesebuah organisasi atau pertubuhan, terletak di tangan pemimpin yang dilantik.Apa yang perlu disedari, kekalahan BN yang diketuai oleh UMNO bukan sekadar akibat undi yang datang bukan dari kaum Melayu.
Tetapi kekalahan BN di beberapa buah negeri seperti Penang, Perak, Kedah, Kelantan dan juga Selangor adalah disebabkan undi-undi dari bangsa Melayu sendiri sebagai satu mesej yang terang dan jelas.Jadi, apa sebenarnya mesej bangsa Melayu kepada para pemimpin Melayu yang memegang amanah untuk menjaga Agama, Bangsa dan Negara?
Bangsa Melayu generasi ini bukanlah lagi bangsa Melayu Pak Pandir yang hanya menang sorak, tetapi Islam dan negeri tergadai. Tetapi bangsa Melayu yang bijak ialah menjadikan sejarah Pak Pandir itu sebagai satu pedoman.
Para pemimpin UMNO, juga mereka yang berkedudukan di dalam UMNO termasuk ahli-ahli UMNO dan diri saya sendiri, perlu muhasabah diri dan kembali ke landasan Islam seperti yang digariskan oleh Al Quran dan Sunnah.
Para pemimpin terutamanya, perlu sedar bahawa kedudukan yang ada pada mereka hari ini bukanlah dengan kehendak mereka sendiri. Mereka dijadikan sebagai pemimpin kerana dilantik oleh rakyat. Mereka tidak mampu untuk melantik diri sendiri sebagai pemimpin tanpa sokongan dari rakyat atau ahli sesebuah pertubuhan tersebut.
Jika hendak dibedah siasat, perkara utama yang perlu ditekankan ialah budaya berpolitik di dalam UMNO. Ada segelintir ahli-ahli dan pemimpin samada kecil atau besar, menjadikan UMNO ini sebagai paltform mereka untuk mencari duit, dan bukannya menjadikan UMNO sebagai sebuah wadah bagi perjuangan untuk rakyat seperti yang tujuan asalnya.Politik itu ditentukan atas dasar perjuangan.
Jika dasar dan nawaitu perjuangannya salah, maka cara dan pendekatan politik yang diambil oleh golongan atau individu juga akan menggunakan cara yang salah.Meraih kuasa dengan wang, fitnah memfitnah, adu domba,bersikap munafik dan bermacam-macam lagi sikap dan perkara-perkara buruk yang boleh terjadi di dalam politik, sekiranya politik itu digunakan untuk kepentingan peribadi.
Ini bukan sahaja berlaku di peringkat atasan, malah juga diperingkat cawangan. Kita perlu ingat, bahawa peringkat cawangan itu diumpamakan sebagai tempat peranakan untuk melahirkan pemimpin.
Jika budaya dan nilai-nilai murni tidak lagi diamalkan di peringkat cawangan, maka pemimpin-pemimpin yang dilahirkan juga tidak akan mempunyai nilai jati diri yang tinggi dan semangat perjuangan demi agama, bangsa dan tanahair yang jitu.Ahli-ahli UMNO dan orang-orang yang mengakui dirinya bukan sahaja sebagai ahli, tetapi ‘orang-orang’ UMNO perlu sedar, budaya dalam UMNO yang menyokong secara membuta tuli dan tidak berprinsip akan membuatkan UMNO akan hancur dengan sendiri.
Ahli UMNO tidak boleh menolak kenyataan, bahawa mereka kini berhadapan dengan beberapa pemimpin yang sebenarnya langsung tidak bersikap terbuka, taksub, berlagak selepas diberikan jawatan, taksub yang keterlaluan kepada parti dan pemimpin, membodek untuk kepentingan diri sendiri.
Tetapi golongan itu tidaklah sebanyak mana pun. Namun, golongan yang benar-benar ikhlas lebih ramai dari golongan berkepentingan diri, tetapi mereka ini tidak bersuara. Sekiranya mereka-mereka ini terus mendiamkan diri, apakah ahli-ahli UMNO generasi hari ini yang ikhlas berjuang mahu bersama-sama mereka yang munafik dalam perjuangan, menciptakan sejarah negara, apabila berjaya menghancurkan UMNO di abad milenium akibat kebodahan dan kesombongan diri sendiri tanpa ilmu.
Perkara ini perlu difikirkan dengan lebih mendalam. Apakah hanya seseorang individu, atau dua tiga kerat individu pemimpin kini yang bersikap beraja di mata bersultan di hati, kita mahu seluruh jemaah UMNO dan sejarah kewujudan UMNO yang membela agama bangsa dan negara terhapus dan tinggal hanya sebagai satu lipatan sejarah bagi Bangsa Melayu satu hari kelak?
Ingatlah, mereka itu hanyalah salah seorang daripada beberapa orang pemimpin yang dilantik sebulat suara oleh lebih dari tiga juta ahli UMNO sejak 50 tahun dulu. Dalam hal ini siapakah yang lebih kuat dan berkuasa?
Apakah seorang dua pemimpin yang dilantik itu lebih berkuasa daripada jutaan ahli UMNO yang sebelum ini melantiknya ke jawatan itu?Secara logiknya, apakah beberapa kerat individu, berjaya mengalahkan lebih tiga juga ahli UMNO semata-mata dia bergelar seorang pemimpin? Jadi, siapakah yang lebih berkuasa sebenarnya?
Oleh itu, bersatulah kita menggunakan kuasa yang terpendam itu, untuk kebaikan sejagat demi agama, bangsa dan negar. Tolaklah pemimpin yang korup, menggunakan wang ringgit untuk kekuasaan politik, menggunakan politik untuk kuasa dan kemewahan peribadi, dan menjadikan UMNO sebagai tempat cari makan mereka, supaya UMNO kembali gah untuk menyambung tanggungjawab warisan bangsa Melayu pada masa yang akan datang.
Saya ingin petik kata Tun Dr Mahathir : Kepimpinan dalam satu-satu organisasi tidak dapat dipisahkan. Seseorang pemimpin itu, tidak perlu dipertahankan, semata-mata kerana dia bergelar pemimpin.
Tetapi, kita juga perlu ingat, bahawa kita juga tidak boleh menjatuhkan pemimpin itu dengan sengaja.Fikir-fikirkanlah...
* Kepada semua ahli Pemuda UMNO Cawangan yang hadir mesyuarat pada malam 27hb Julai yang lalu, saya sebagai Ketua Pemuda UMNO Cawangan mengucapkan ribuan terima kasih dan amat-amat menghargai segala pengorbanan sahabat-sahabat. InsyaAllah kita akan bersama membuat kebaikan semata-mata kerana Allah.
Salam PerjuanganWAN MOHD HAFIZ WAN HAMZAH
Ketua Pemuda UMNO Cawangan Taman Ehsan
RCI Pulau Batu Puteh: Siapa Sebenarnya Yang Menipu?
-
RCI Pulau Batu Puteh: Siapa Sebenarnya Yang Menipu? Tuduh menuduh, tuding
menuding jari antara Dr Mahathir dan 3 bekas menteri kabinet beliau semakin
h...
2 days ago
0 comments:
Post a Comment