Aug 30, 2008

PENGAJARAN BAGI GENERASI MUDA

Pada 19 Mei 2008, kemungkinan topik yang paling popular menjadi tajuk perbualan di kalangan masyarakat marhain di Malaysia, terutama ahli UMNO ialah tentang topik Tun Mahathir keluar dari UMNO. Bukan sahaja Tun Mahathir, tetapi isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah juga turut berbuat perkara yang sama.Ini adalah satu kejutan.

Mungkin peristiwa ini juga akan tersimpan dalam lipatan sejarah negara, seperti mana sejarah pilihanraya umum ke 12 baru-baru ini. Selain itu, jelas ini menunjukkan betapa seriusnya Tun Mahathir, tentang isu merudumnya prestasi BN di bawah pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, khususnya tentang dakwaan Tun yang mengatakan bahawa UMNO yang ada hari ini, tidak lagi seperti UMNO yang diwujudkan 62 tahun dulu.

Mengimbau sejarah, ini adalah kali kedua Tun keluar dari UMNO. Kali pertama Tun keluar dari UMNO, kerana dipecat. Dan kali ini pula, Tun sendiri yang mahu keluar dari UMNO. Namun, kedua-dua tindakannya ini adalah di atas satu sebab yang sama, tidak puas hati dengan kepimpinan yang ada.

Dulu, Tun menulis surat kepada Tuanku Abdul Rahman, mengkritik kepimpinan Tuanku sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO, berikutan peristiwa 13 Mei 1969. Dan kali ini, tindakan Tun keluar UMNO adalah sebagai satu desakan dan juga tanda protes terhadap kepimpinan yang sedia ada.

Dalam hal ini, sebagai generasi muda terutama bangsa Melayu pada zaman ini, perlu menilai dan meniliti dengan matang dan bijaksana, tentang kejutan dan sejarah-sejarah yang mungkin akan mewarnai senario politik Tanah Melayu sedikit masa selepas ini.

Generasi pemuda yang berjuang di dalam mana-mana parti politik Melayu zaman ini perlu lebih matang, serta tidak taksub dengan parti, dan perlu menetapkan matlamat perjuangan hanyalah semata-mata untuk agama, bangsa dan negara.

Perjuangan yang berlandaskan asyobiyah, dan juga nawaitu untuk perut sendiri atau nafsu sendiri, tidak akan kekal dan akan menuju ke kehancuran.Apa saja yang berlaku di kalangan pemimpin yang boleh kita anggap sebagai bapa atau atuk-atuk kita ini, perlu dijadikan pengajaran. Mereka juga manusia yang melakukan kesilapan.

Namun kita sebagai generasi muda, perlu belajar dari kesilapan mereka dan memastikan agar kita tidak mengulanginya.Bersikap tuduh menuduh, dan salah menyalahi antara satu sama lain tidak akan membawa apa-apa kebaikan. Apa yang penting, tolaklah mana-mana pemimpin yang kita tahu, dia tidak ikhlas, dan mempunyai agenda kepentingan peribadi, melebihi kepentingan rakyat jelata.

UMNO itu tidaklah salah, kerana ia hanyalah nama pada satu kertas untuk didaftarkan sebagai pertubuhan. Tetapi, insan-insan yang bergerak di dalam UMNO itulah yang perlu diperbetulkan. UMNO bukan milik Tun Mahathir, bukan juga milik Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dan bukan juga milik pejuang-pejuang terdahulu seperti Dato Onn atau Tuanku Abdul Rahman.

UMNO juga bukanlah kuda tunggangan insan-insan picisan yang mempunyai nafsu sehebat Dinasour Yang Tamak, yang mahu menelan sebanyak mana harta kekayaan, selagi boleh ditelan.Tetapi, UMNO adalah kepunyaan semua orang-orang Melayu. Para pemimpin UMNO perlu berkhidmat untuk semua orang Melayu.

Baik seseorang itu pemandu teksi, jaga, tukang sapu sampah atau kerani, kerana UMNO adalah milik mereka! Mereka berhak untuk bersuara kerana atas suara dan sokongan mereka, pemimpin itu bergelar pemimpin. Bukankah UMNO adalah pertubuhan yang memperjuangkan Agama, Bangsa dan Negara?

UMNO wujud dan kuat kerana sokongan orang-orang Melayu, dan bertambah mantap, apabila ada pemimpin-pemimpin Melayu yang ikhlas serta mempunyai sifat-sifat siddiq, amanah, tabligh dan fatanah.

Sekiranya benar ahli-ahli UMNO sudah terpesong dari landasan perjuangan yang sebenar, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menegur dan memperbetulkannya, mengikut cara dan pendekatan tersendiri kerana itu juga adalah satu dakwah. Dan sebenarnya tanggungjawab ini lebih hampir pada ahli-ahli UMNO sendiri…

Wan Mohd Hafiz Wan Hamzah

0 comments:

MESTI BACA

SEJARAH PERJUANGAN

PEMERINTAH, ULAMA DAN RAKYAT

Copyright 2010 Suara Pekembar
Newbie Friendly theme By: Ikhsan Hafiyudin | Powered and Hosted By: Blogger.com