Aug 31, 2008

BN PERLU FORMAT BARU

KUALA LUMPUR 30 Ogos – Format dan pengisian Barisan Nasional (BN) perlu diolah semula bagi menarik sokongan generasi muda sekali gus mengekalkan statusnya sebagai parti pemerintah.

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, usaha itu perlu dilaksanakan segera bagi membolehkan rakyat menilai konsep baru BN pada pilihan raya umum akan datang.
Katanya, proses mewujudkan BN ‘baru’ itu bukannya perkara yang mudah, namun jika tidak dilaksanakan akan menjadi satu beban di kemudian hari.
‘‘Saya ambil pedoman daripada keputusan pilihan raya umum dan kecil yang lalu, seolah-olah terdapat satu pandangan bahawa mereka (generasi muda) tidak berapa setuju dan berminat untuk terima konsep BN.

‘‘Saya berpendapat dalam situasi sekarang, mungkin ada keperluan untuk BN disusun dalam format dan pengisian baru yang lebih diterima masyarakat kita,’’ katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas melepaskan peserta konvoi Hijrah Merdeka Amal 2008 anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Muhyiddin berkata, usaha mengolah semula format dan pengisian BN perlu dimulakan oleh UMNO sebelum diikuti oleh parti-parti komponen BN yang akan mengumpulkan maklum balas kehendak kaum yang diwakili mereka.

Katanya, maklum balas yang diperoleh kemudiannya dibincangkan secara bersama bagi mewujudkan satu persefahaman baru di antara parti-parti komponen.

‘‘Semua pihak mesti ada kesediaan untuk menilai semula serta melihat daripada konteks masing-masing dan duduk berbincang dalam semangat BN bagi merangka hala tuju, corak dan pendekatan baru untuk kita kemukakan kepada masyarakat pada pilihan raya umum akan datang,’’ katanya.

Menurutnya, antara yang perlu diberi perhatian dalam usaha mengolah format baru itu ialah isu hubungan antara kaum dan perkara-perkara yang telah disepakati dalam perlembagaan negara seperti ekonomi, hak istimewa orang Melayu dan bahasa.

Katanya, generasi muda kaum Cina dan India hari ini sukar untuk menerima kenyataan itu kerana beranggapan sebagai rakyat Malaysia, mereka mempunyai hak yang sama sebagaimana orang Melayu.
"Apa yang terkandung dalam perlembagaan ada pihak yang tidak bersedia untuk terima, ini menyebabkan penerimaan mereka terhadap konsep BN semakin berkurangan.

“Yang lebih penting ialah dari segi operasi, bagaimana perkara-perkara itu hendak diperjelaskan,’’ katanya.

SUMBER Utusan Online

0 comments:

MESTI BACA

SEJARAH PERJUANGAN

PEMERINTAH, ULAMA DAN RAKYAT

Copyright 2010 Suara Pekembar
Newbie Friendly theme By: Ikhsan Hafiyudin | Powered and Hosted By: Blogger.com